
SINGAPURA: Perintis teksi udara Jerman, Volocopter dan penyedia infrastruktur, Skyports, akan melancarkan perkhidmatan teksi udara komersial di Singapura dalam tempoh dua tahun lagi dengan permulaan operasi dirancang di Marina Bay dan Sentosa.
Ini akan diikuti dengan perluasan perkhidmatan, termasuk merentasi sempadan dengan Malaysia dan Indonesia sebagai destinasi. Kemungkinan penerbangan terus dibuat dari terminal di Seletar dan Changi ke bandar seperti Melaka, Batam dan Bintan.
Mengikut syarikat penerbangan Volocopter, penerbangan teksi udara dari Lapangan Terbang Changi ke Batam hanya mengambil masa tidak sampai 20 minit.
Pelanggan yang mempunyai urusan perniagaan di Ibrahim International Business District (IIBD) di Johor Bahru, pula boleh tiba di situ dalam tempoh 30 minit, berbanding tiga jam menggunakan kereta.
Di Pameran Udara Singapura di sini yang bermula semalam hingga Jumaat ini, Volocopter mengumumkan bahawa teknologi pengangkutan udara itu sudah mencapai tahap untuk dilaksanakan secara komersial.
Perancangan Volocopter bersama Skyports adalah perincian konkrit pertama yang muncul dari industri mobiliti udara bandar sejak percubaan pertama pada 2019 dengan teksi udara elektrik berjaya dilancarkan selama tiga minit di sepanjang pesisir Marina Bay.
Selasa lalu, Lembaga Permbangunan Ekonomi (EDB) Singapura dan pemaju, JTC Corporation, yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), mengenal pasti Taman Angkasa Seletar sebagai berpotensi dijadikan hab mobiliti udara.
MoU dengan Skyports adalah untuk menerokai pembinaan infrastruktur teksi udara seperti terminal dan kemudahan latihan juruterbang di Seletar. MoU dengan Volocopter pula untuk menubuhkan pusat pengeluaran dan penyelenggaraan, membaiki dan membaik pulih teksi udara.
Mengikut kenyataan bersama EDB dan syarikat berkenaan: “Hasil kemajuan industri mobiliti udara melalui penemuan teknologi, Singapura kini memajukan industri ini dengan mewujudkan rangkaian pelabuhan teksi udara. Perkhidmatan dijangka bermula pada 2024.”
Teksi udara Volocopter adalah seperti helikopter kecil dengan bilah kipas kecil. Pesawat elektrik ini dikatakan selamat, senyap serta lebih selesa dan mesra alam.
Pesawat ini hanya memerlukan lapangan terbang persendirian kecil dengan jarak landasan antara 20 hingga 25 meter, selain boleh mendarat di bumbung bangunan.
Ketua Pegawai Komersial Volocopter, Christian Bauer, berkata kumpulan pertama teksi udara mengandungi antara 10 hingga 20 teksi bagi membolehkan perkhidmatan ditawarkan mampu digunakan orang ramai.
Katanya, syarikat mahu menjadikan Singapura dan Paris sebagai bandar pertama menggunakan teksi udara komersial dan kini dalam proses mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura dan Eropah untuk memulakan perkhidmatan.
“Model teksi udara bandar, Volocity, boleh terbang sejauh 35 kilometer dengan kelajuan 90 kmh (kilometer sejam), manakala model empat tempat duduk, VoloConnect, mampu terbang sejauh 100 kilometer dengan kelajuan mencecah 180 kmh,” katanya.

Bauer berkata, syarikat turut melakukan ujian, penerbangan ujian dan penilaian bagi memastikan perkhidmatan itu selamat seperti pesawat komersial sedia ada.
“Singapura akan menjadi negara utama untuk teknologi begini dan sesuai bagi kami jadikan sebagai kayu pengukur kepada negara dan bandar lain di Asia Tenggara. MoU ini suatu langkah konkrit untuk memulakan perkhidmatan komersial di Singapura,” katanya.
Menurutnya, Volocopter merancang mengambil secara terus sehingga 500 kakitangan menjelang 2030, selain mewujudkan 800 pekerjaan lain.
Ketua Asia Pasifik Skyports, Tay Yun Yuan, pula berkata teksi udara akan menjadi mercu tanda baharu dalam penerbangan dan boleh menutup kekurangan dalam sistem pengangkutan sedia ada.
Katanya, teksi udara bukan saingan dan sebalik menjadi pelengkap kepada keretapi, bas dan teksi serta patut dijadikan sebagai penghubung terakhir untuk kesinambungan serantau bagi laluan yang terlalu pendek untuk menggunakan kapal terbang.
“Pengangkutan darat Singapura cekap dan jarang berlaku kesesakan lalu lintas. Kami berpandangan bahawa wujud peluang untuk menggunakan perkhidmatan teksi udara bagi menghubungkan pulau di selatan ke jiran kita di utara, selain berpotensi memperkukuhkan status Singapura sebagai hab penerbangan,” katanya. – THE STRAITS TIMES




















