
PADA 4 Februari lepas, Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, telah menegaskan bahawa Presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ‘poster boy’ mereka pada Pilihan Raya Umum akan datang. Kata beliau pengorbanan Tan Sri berkata untuk mengembalikan integriti di dalam negara telah mengakibatkan beliau kehilangan jawatan Timbalan Menteri dan merupakan lambang utama seorang pejuang. Wan Saiful juga mencabar Umno menamakan Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi juga sebagai ‘poster boy’ mereka.
‘Poster boy’ dan ikon adalah perkara biasa untuk menarik minat pengundi atau orang ramai. Terdapat mereka yang tidak berminat atau tidak mempunyai masa untuk membaca atau mengkaji polisi atau janji parti-parti politik dan akan mengundi semata-mata berdasarkan ‘poster boy’ atau ikon yang ditonjolkan oleh parti. Mereka mungkin terpengaruh dengan pencapaian individu-individu yang ditonjolkan sama ada di dalam politik atau di luar politik.
Mereka juga mungkin terpengaruh dengan personaliti atau paras rupa individu-individu tersebut. Terdapat parti-parti politik yang mengeksploit semaksimum mungkin ‘poster boy’ dan ikon mereka sehingga dapat menutup kelemahan dan kekurangan yang ada. Sama ada kita bersetuju atau tidak, peranan mereka adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini terdapat kajian yang menunjukkan pengundi-pengundi turut terpengaruh dengan paras rupa. Mungkin sebab itu terdapat parti politik yang menonjolkan calon-calon muda dan segar walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman.
Ikon ini bukan sahaja berperanan semasa pilihan raya tetapi pada sepanjang masa dan ketika. Mereka memberi persepsi bahawa ‘orang-orang yang hebat’ juga bersama maka ia mendorong kepada orang lain untuk turut bersama. Ikon merupakan representasi kepada kelompok yang besar dan ia menjadi contoh untuk kelompok itu. Perkara-perkara yang mereka lakukan akan dicontohi dan diikuti.
Di dalam dunia perniagaan, istilah yang lazim digunakan, ‘Duta Produk’, merupakan strategi untuk menarik minat pengguna terhadap produk yang dipasarkan. Kefahaman pengguna adalah ‘jika mereka membeli produk itu maka sudah tentu produk itu bagus’. Lebih mudah untuk memanfaatkan pengiktirafan ‘Duta Produk’ dari menerbitkan iklan yang panjang lebar yang belum tentu dapat menarik minat orang ramai. Perkara yang sama juga berlaku di dalam politik walaupun pada konteks yang berbeza.
Walau bagaimanapun tidak mungkin satu ikon sesuai untuk semua kelompok walaupun tidak mustahil. Untuk orang muda ada ikon yang tersendiri dan begitu juga untuk golongan pertengahan umur dan golongan senior. Setiap kelompok atau peringkat umur memiliki kecenderungan masing-masing yang kadang-kala hanya mereka sahaja ketahui. Kita bukan membelakangkan prinsip atau dasar perjuangan tetapi sekadar memudahkan kita mendekati orang ramai terutamanya kelompok-kelompok yang susah untuk kita tembusi.
Akhirnya keutamaan perlu diberikan kepada risalah yang kita bawa tetapi sepertimana hendak menyeberang sungai kita perlu membina jambatan terlebih dahulu. Kita perlu memanfaatkan mereka yang boleh menjadi jambatan ini. Jangan disimpan atau disembunyikan kerana bimbang akan menjadi ancaman. Berikan mereka peranan, ‘empower’ mereka agar mereka merasakan diri mereka dihargai dan bukan sekadar digunakan atau dikawal dari jauh.
Mengenal pasti contoh atau ‘role model’ juga perlu berhati-hati kerana bimbang tidak menepati tujuannya. Pada satu Pilihan Raya Umum di UK ketika Parti Buruh (Labour) dipimpin oleh Neil Kinnock, parti itu telah mengharapkan personaliti dan karisma ketua mereka itu untuk menumbangkan kerajaan Parti Konservatif (Conservative) pimpinan Margaret Thatcher. Mereka telah berkempen dengan ‘memasarkan’ (market) Kinnock sebagai seorang yang baik dan tidak ada siapa tidak mahu beliau menjadi jiran sebelah rumah mereka.
Tetapi Parti Buruh telah tidak berjaya mengalahkan Parti Konservatif dan strategi menonjolkan Kinnock sebagai ‘jiran sebelah rumah yang boleh dipercayai’ ternyata gagal. Para pengundi mengakui Kinnock adalah seorang yang baik dan tidak ada masalah jika Kinnock adalah jiran mereka, tetapi mereka pergi mengundi bukan untuk memilih seorang jiran tetapi untuk memilih seorang Perdana Menteri. Menurut Kinnock sendiri beberapa tahun selepas pilihan raya itu, mereka boleh menerima beliau sebagai jiran tetapi bukan sebagai Perdana Menteri.
Strategi kempen Parti Buruh pada Pilihan Raya Umum tersebut ada satu kesilapan. Mereka sepatutnya mempromosi Kinnock sebagai bakal Perdana Menteri dan bukan sekadar sebagai ‘jiran sebelah rumah yang boleh dipercayai’. Ini adalah salah satu kesilapan parti politik, mempromosikan pemimpin mereka untuk satu peranan yang pengundi tidak peduli ketika Pilihan Raya Umum.
Parti Buruh mungkin betul menekankan kejujuran dan kebaikan Kinnock tetapi pengundi UK ketika itu mahu seorang calon Perdana Menteri yang dapat memimpin negara itu bangkit semula untuk menjadi kuasa ekonomi dunia. Sekadar ‘seorang jiran yang baik’ bukan di antara ciri-ciri yang mereka inginkan. Justeru sekadar ‘individu yang baik’ sahaja tidak akan meningkatkan keyakinan pengundi kerana pengundi mahukan ‘individu yang berkebolehan’ untuk memimpin negara.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/2/2022
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/5215146031837685/




















