Pendaftaran automatik tambah pengundi setiap bulan

- Advertisement -

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU:
Sehingga 31 Disember lepas Kelantan mempunyai 1,399,305 pemilih berdaftar, kata Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Nik Ali Mat Yunus.

Beliau juga berkata, statistik peningkatan pemilih berusia 18 tahun ekoran pelaksanaan pendaftaran secara automatik berjumlah lebih 8,000 orang bagi 16 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Paling ramai ialah 12,000 orang di Dun Panchor dan 11,800 Dun Bukit Panau,” katanya pada sesi Libat Urus Pelaksanaan Umur Kelayakan Pengundi 18 Tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

- Advertisement -

Persidangan Dun Kelantan pada 12 Ogos 2020 melulus Rang Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian 1) Pindaan 2020 menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi Adun daripada 21 tahun kepada 18 tahun dengan undian sebulat suara.

Pindaan itu dikuatkuasakan pada 31 Disember 2021.

Sementara itu Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata Daftar Pemilih Tambahan (DPT) pertama diwartakan pada 14 Januari 2022 mengandungi 5.7 juta pengundi berumur 18 tahun dan ke atas.

Katanya, pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik menyebabkan berlaku peningkatan jumlah pemilih berdaftar daripada 15.3 juta kepada 21 juta orang pada 31 Disember 2021.

Menurutnya jumlah pemilih berdaftar akan meningkat setiap bulan, di mana 318,747 daripada 5.7 juta pemilih baharu terdiri rakyat Kelantan.

“Jumlah pemilih berdaftar di Kelantan meningkat daripada 1.08 juta orang sebelum ini kepada 1.39 juta sekarang,” jelasnya.

Beliau juga berkata, pertambahan jumlah pemilih tersebut memberi kesan kepada pertambahan jumlah pemilih di setiap Dun.

Turut hadir pada program terbabit anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan Pengarah SPR Kelantan Fakhrul Razi Ab Wahab. – HARAKAHDAILY 16/2/2022

- Advertisement -