
SINGAPURA: Sebanyak 121 akaun bank tempatan telah dibekukan pihak polis negara ini setakat 13 Feb (Ahad) dalam siasatan berterusan ke atas skandal penipuan ‘pancing data khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyasarkan pelanggan bank OCBC, dan berjaya mendapatkan semula kira-kira S$2 juta (RM6.2 juta) wang mangsa.
Menteri Negara Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, Desmond Tan pada Selasa (15 Feb) berkata, sebanyak kira-kira S$2.2 juta pula dikesan telah dipindahkan ke 89 akaun bank luar negara.
Sehubungan itu, Tan dalam sidang Parlimen mengeluarkan kenyataan mengenai strategi anti-penipuan selepas hampir 800 pelanggan OCBC kehilangan wang yang kesemuanya mencecah S$13.7 juta kepada penipu yang menyamar (scammer) sebagai bank berkenaan melalui teknik pancing data SMS pada Disember 2021 itu.
Menjawab soalan Ahli Parlimen, beliau menyatakan bahawa polis telah menemui sekurang-kurangnya 107 alamat Protokol Internet (IP) tempatan dan 171 luar negara yang dikaitkan dengan akses tanpa kebenaran akaun perbankan internet mangsa.
“Banyak laman web penipuan yang digunakan dalam penipuan pancingan data itu dihoskan oleh syarikat yang berpangkalan di luar negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, polis sedang menyiasat alamat IP tempatan yang dikaitkan dengan penipuan dan pemilik akaun keldai wang tempatan.
“Pihak polis juga bekerjasama dengan Interpol dan agensi penguatkuasaan undang-undang asing untuk menyiasat penerima dana yang dipindahkan ke luar negara, serta hos laman web penipuan ini,” kata Tan.
Penipuan pancingan data SMS yang melibatkan OCBC berlaku di tengah-tengah peningkatan jumlah penipuan yang dilaporkan di Singapura. Pada tahun lepas, 23,931 kes penipuan dilaporkan, termasuk 5,020 penipuan pancingan data.

Menurut Tan lagi, angka tersebut menandakan peningkatan empat kali ganda daripada 2017 apabila 5,147 kes penipuan dilaporkan, dengan 16 adalah penipuan pancingan data.
Beliau yang juga mempengerusikan Jawatankuasa Antara Kementerian mengenai Penipuan berkata, tiada laporan mengenai penipuan pancingan data yang melibatkan scammer yang menyamar sebagai bank melalui SMS pada 2017.
“Kaedah penipuan tersebut mula muncul pada 2018 dengan 91 kes, diikuti 57 kes pada 2019 dan 149 kes pada 2020. Ini meningkat lagi kepada 1,021 pada tahun lepas.
“Sehubungan itu, bagi memerangi penipuan serupa berulang pada masa depan, Perintah Anti-Penipuan akan dibentuk pada tahun ini untuk menyatukan kepakaran dalam penipuan di semua unit di bawah penguatkuasaan polis, yang dengan itu meningkatkan penyelarasan penguatkuasaan dan penyiasatan anti-penipuan,” katanya. – CNA




















