
KUANTAN: PAS mampu mengulangi kemenangan di DUN N.16 Inderapura yang sudah pernah dimenangi dahulu, demikian keyakinan diucapkan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar.
“Saya ingin mengingatkan semua Jentera bahawa kemenangan mampu dicapai sekiranya semua bekerja dan memainkan peranan masing-masing.
“Kita semua sedia maklum bahawa DUN Inderapura dahulu dikenali sebagai DUN Lepar ini pernah dimenangi oleh PAS. Jadi tiada yang mustahil ia mampu diulangi,” ujarnya menyeru persiapan ilmu, mental dan fizikal.
Beliau membangkitkan semangat anggota jentera menerusi taujihat dalam majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Inderapura yang dilangsungkan di PASTI Ajwad, Taman Seri Inderapura, di sini kelmarin dahulu.
Ustaz Rosli memberitahu, DUN Tanjung Lumpur diwakilinya juga dahulunya dikatakan sukar dimenangi, namun berkat kesabaran dan kesungguhan, akhirnya dengan izin Allah kerusi tersebut berjaya diperolehi pada PRU13.
Program penuh gah itu disempurnakan dengan gimik penyerahan bendera PAS kepada wakil-wakil Unit Daerah Mengundi (UDM) dengan semangat ijtimak bagi mempersiapsiagakan jentera bagi menghadapi PRU15.
Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuantan, Wan Razali Wan Nor juga dalam ucapannya turut menyeru agar anggota Jentera memberikan komitmen tidak berbelah bahagi bagi memastikan kemenangan dapat diraih.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya DUN (JPrD) Inderapura, Hashim Md Zin pula dalam ucapannya berharap anggota Jentera melipatgandakan usaha dan aktiviti menarik pengundi untuk memilih PAS pada PRU15 nanti.
Beliau turut mengingatkan anggota Jentera bahawa sebagai ahli gerakan Islam persiapan untuk mencapai kemenangan dianugerahkan Allah mestilah dengan mendekatkan diri kepada-Nya yang tidak harus diabaikan. – HARAKAHDAILY 16/2/2022





















