Politik Islam: Tiada campur tangan urusan kehakiman

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

اِنَّ اللّٰهَ يَأْمُرُكُمْ اَنْ تُؤَدُّوا الْاَمٰنٰتِ اِلٰٓى اَهْلِهَاۙ وَاِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ اَنْ تَحْكُمُوْا بِالْعَدْلِ ۗ اِنَّ اللّٰهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهٖ ۗ اِنَّ اللّٰهَ كَانَ سَمِيْعًاۢ بَصِيْرًا

“Sesungguhnya Allah S.W.T memerintahkan kamu menunaikan amanah (tanggungjawab) kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

(an-Nisa’: 58)

Berdasarkan ayat di atas keadilan adalah matlamat dalam sistem kehakiman dan perundangan Islam. Ianya bagi memastikan amanah dilaksanakan sebagaimana ia disyariatkan. Keadilan adalah hak Allah S.W.T yang wajib ditunaikan oleh pemegangnya kepada ahlinya. Pastinya peraturan Allah S.W.T jualah yang adil.

Allah S.W.T adalah Hakim Mutlak Yang Maha Adil. Rasulullah S.A.W adalah penyampai risalah Allah kepada hamba-Nya. 

Secara praktikalnya sistem kehakiman Islam terlaksana pada zaman Baginda Rasulullah S.A.W, para Sahabat, Tabiin dan Atba’ Tabiin. Ini merupakan model dan contoh sistem kehakiman terbaik dalam sejarah manusia. Kehakiman yang merujuk kepada panduan Al-Qur’an dan As-Sunnah bukan berpandukan akal semata-mata.

Campur tangan politik dalam sistem kehakiman hanya akan mengundang fitnah jika ianya berlaku. Keadilan tidak akan terlaksana bahkan kezaliman dan penyalahgunaan kuasa akan berleluasa. Umpama pukat yang hanya mensasarkan ikan kecil sedangkan jerung yang mengganas dibiarkan berenang bebas. Dalam erti kata hukuman akan dilaksanakan jika ianya melibatkan rakyat umum dan golongan marhaen. Namun ianya hilang penguatkuasaannya apabila melibatkan golongan atasan atau kayangan.

Ingatlah ini antara punca kemurkaan Allah dan kehancuran menimpa umat terdahulu sebagaimana diberitakan dalam Hadis Rasulullah S.A.W. Apabila golongan pemerintah melanggar peraturan, tiada tindakan diambil. Namun jika rakyat bawahan melakukan pelanggaran, hukuman keras dilaksanakan.

Hadis Rasulullah S.A.W:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ قُرَيْشًا أَهَمَّهُمْ شَأْنُ الْمَرْأَةِ الْمَخْزُومِيَّةِ الَّتِي سَرَقَتْ فَقَالُوا وَمَنْ يُكَلِّمُ فِيهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا وَمَنْ يَجْتَرِئُ عَلَيْهِ إِلَّا أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ حِبُّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَلَّمَهُ أُسَامَةُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَشْفَعُ فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ ثُمَّ قَامَ فَاخْتَطَبَ ثُمَّ قَالَ إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا.

“Aisyah R.A meriwayatkan: “Bahawasanya orang Quraisy risau keadaan (nasib) wanita dari bani Makhzumiyyah yang (didapati) mencuri. Lalu mereka berkata siapa yang boleh berbicara dengan Rasulullah S.A.W? Mereka menjawab bahawa tidak ada yang berani kecuali Usamah bin Zaid yang dicintai Rasulullah S.A.W. Maka Usamah R.A pun berbicara dengan Rasulullah S.A.W (mengenai perkara itu). Maka Rasulullah S.A.W bertanya, “Apakah engkau ingin memberi syafaat (pertolongan untuk melepaskan atau meringankan) berkaitan dengan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah?”

“Kemudian Rasulullah S.A.W pun berdiri dan berkhutbah, “(Wahai manusia) sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu adalah jika ada orang yang mulia (memiliki kedudukan) di antara mereka yang mencuri, maka mereka biarkan (tidak dihukum). Namun jika yang mencuri adalah orang yang lemah (rakyat biasa), maka mereka menegakkan hukum atas orang tersebut. Demi Allah, sesungguhnya jika Fatimah binti Muhammad mencuri, aku sendiri yang akan memotong tangannya.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Dalam Hadis yang lain Rasulullah S.A.W menyampaikan bahawa manusia yang paling dicintai oleh Allah S.W.T adalah pemimpin yang adil. Sementara manusia yang paling dibenci Allah S.W.T adalah pemimpin yang zalim. Ini sebagaimana Hadis Riwayat Sayyidina Abu Said al-Khudri R.A: 

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وعلى آله وصحبه وسلم : إِنَّ أَحَبَّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَقْرَبَهُمْ مِنْهُ مَجْلِساً إِمَامٌ عَادِلٌ وَإِنَّ أَبْغَضَ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَشَدَّهُ عَذَاباً إِمَامٌ جَائِرٌ.

“Abu Said Al-Khudri R.A meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya: “Sesungguhnya manusia yang paling dicintai Allah S.W.T dan paling dekat tempat duduknya pada hari kiamat adalah pemimpin yang adil, sedangkan manusia paling dibenci oleh Allah dan paling dahsyat seksaannya adalah pemimpin yang zalim.””

(Riwayat At-Tirmizi)

Justeru PAS Johor menggesa semua pihak menghormati sistem kehakiman yang ada di dalam negara agar kedaulatan undang-undang terus terpelihara demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan
PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 7/2/2022

- Advertisement -