
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Penganjuran Program Jualan Prihatin Keluarga Malaysia (PJKM) melegakan orang ramai ketika pengguna merungut harga ayam dan telur melambung di pasaran.
Orang ramai yang mengunjungi program tersebut di hadapan PASTI As Solehin, Behor Temak semalam lega kerana barangan jualan jauh lebih murah.
Seorang pengguna, Hashimah Ahmad berkata, program seperti ini dapat mengurangkan sedikit bebanan isi rumah penduduk golongan B40.
“Saya merasa amat gembira dengan penganjuran program jualan seperti ini kerana sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan keperluan harian.
“Harga beras yang dijual di sini memang rendah berbanding harga biasa,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk Ahmad Chik pula berkata, jualan beras 5 kilogram pada harga RM10 di PJKM jauh lebih murah berbanding harga di pasaran.
“Saya dengar cerita daripada kawan-kawan tentang jualan hari ini.
“Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur kerana harga beras yang dijual amat berpatutan,” katanya.
Program itu dianjurkan Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Dewan Pemuda PAS Perlis dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kangar.
Sementara itu Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda PAS Perlis Abd Hadi Halipah berkata, JPKM di Parlimen Kangar menjadi lokasi ketiga, di mana sebelum ini diadakan di Parlimen Arau dan Padang Besar.
“Matlamat utama jualan ini diadakan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
“Menerusi jualan seumpama ini mereka boleh mendapatkan barangan harian pada harga yang lebih murah berbanding harga biasa.
“Hari ini kami menawarkan sebanyak 100 kampit beras 5kg pada harga serendah RM10 sahaja, yang biasanya dijual pada harga RM13 sekampit,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/2/2022











