
MARAN: Semangat saling membantu yang tinggi ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sama ada ketika berlaku bencana banjir atau bencana lain sangatlah terpuji dan dibanggakan, akui ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak.
Beliau memuji demikian ketika menyempurnakan penyampaian bantuan banjir yang disumbangkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Dewan Orang Ramai Kampung Nyak, Kertau, di sini baru-baru ini.
“Walaupun hampir sebulan banjir di Chenor ini telah pulih, namun bantuan-bantuan susulan tetap dihulurkan oleh segenap masyarakat dan NGO, inilah sikap keprihatinan rakyat Malaysia yang sangat terpuji dan dibanggakan oleh kita.
“Sejak banjir berlaku di penghujung Disember 2020 lalu, banyak NGO yang telah datang membantu kami di sini, dan saya sangat berterima kasih atas usaha-usaha mereka itu” jelasnya lagi.
Dalam majlis tersebut, sejumlah 269 pakej ibadah dan keperluan tidur disumbangkan oleh gabungan tiga NGO iaitu Yayasan Amirul Ummah (YAU) dan Yayasan Pembangunan Niaga Kebangsaan (YAPENK) serta Alphard Vellfire Malaysia (AVM) dari Selangor.
Menurut Ketua Gabungan, Misi Sumbangan Bantuan Banjir Ke Chenor ini, Zainal Alam Yaakob, sumbangan diberikan ini merupakan siri keempat dilakukan oleh pihaknya di Pahang.
“Siri menyampaikan bantuan di Pahang ini yang pertama dan kedua serta ketiga telah kami lakukan pada awal Januari lalu di Bentong dan Lanchang, Temerloh, manakala di kawasan Chenor ini adalah siri keempat kami.
“Setiap kali berlaku banjir di sini, memang kami akan datang sampaikan bantuan dan alhamdulillah, objektif serta sasaran menyampaikan sumbangan bukan saja kepada keluarga mangsa tetapi juga kepada masjid dan surau pada hari ini telah tercapai.
“Kami juga sentiasa berazam di masa akan datang tidak meninggalkan tanggungjawab membantu di kawasan sini (Chenor) dengan semampu kami, insya-Allah,” jelasnya lagi.
Sambil itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Nyak, Kamaruzaman Hassan melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada NGO yang sentiasa sudi memberikan menghulurkan bantuan.
“Usaha berterusan membantu dari NGO-NGO begini adalah amat baik, ianya dapat mengurangkan lagi beban kami di sini yang sentiasa mengalami musibah banjir,” katanya.
Bagi salah seorang penerima bantuan pula, Rofli Samah, 52, beliau menghargai sumbangan barang-barang itu kerana sememangnya mereka sudah banyak kehilangan barang keperluan dan rosak dilanda banjir.
Turut bersama dalam majlis ini ialah, Pengerusi JPKK Kampung Sentang, Johar Abdullah dan Yang Dipertua PAS Kawasan Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman serta Bendahari YAPENK, Dato’ Shahrul Nizam Naser. – HARAKAHDAILY 7/2/2022















