
BANGI: Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Kawasan Bangi telah menziarahi isteri bekas Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak iaitu Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah, 72, di kediamannya di Teras Jernang, di sini semalam.
Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Bangi, Atikah Rowi memimpin kunjungan mewakili Ketua Muslimat PAS Bangi, Hamsatul Hamzah dan turut disertai veteran Muslimat PAS Cawangan Teras Jernang, Ustazah Mastura Wahid.
Ustazah Mastura sangat rapat dengan Puan Sri Faekah sekeluarga ketika Tan Sri Ustaz Azizan dahulunya bertugas sebagai pensyarah dan Ketua Jabatan Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Almarhum setelah itu berpindah ke Kedah dan bergiat sepenuh masa aktif berpolitik hingga menjawat jawatan Menteri Besar Kedah ke-10 pada tahun 2008.
Walaupun diuji dengan kanser limfoma tahap 4, Puan Sri Faekah kelihatan bersemangat bercerita nostalgia bersama Allahyarham dan lapan anak-anak mereka.
Beliau juga sangat berterima kasih dengan ingatan daripada Muslimat yang masih mengingatinya walaupun Allahyarham Tan Sri telah pergi menemui Ilahi lapan tahun lalu akibat komplikasi kencing manis.
Dari ceritanya jelas memberi iktibar bahawa pengorbanan dan kasih sayang terhadap keluarga yang ditunjukkan memberi semangat kepada isteri-isteri para pimpinan PAS sepertinya untuk terus menghadapi ujian mehnah dan tribulasi .
Pertemuan selama sejam diakhiri dengan doa dan harapan agar Puan Sri yang sedang menerima rawatan kimoterapi setiap tiga minggu di Hospital Ampang agar segera sembuh dan sihat seperti sedia kala.
Turut disampaikan sempena ziarah ini adalah sedikit sumbangan daripada Dewan Muslimat PAS Bangi dan cenderahati daripada wakil Muslimat PAS Cawangan Teras Jernang. – HARAKAHDAILY 7/2/2022











