
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengalu-alukan kerjasama bersama persatuan-persatuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kementerian itu bersedia untuk mengadakan kerjasama itu demi menjayakan harapan kerajaan dalam melahirkan usahawan tempatan dan peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, MEDAC dan agensi-agensi di bawahnya sekadar pembuat dasar, justeru memerlukan kerjasama daripada persatuan-persatuan, golongan usahawan dan pihak-pihak lain dalam menjayakan dasar itu.
“Kementerian hanya membuat dasar, tetapi dasar-dasar ini hanya akan dilaksanakan oleh golongan usahawan.
“Jadi, kerana itulah kita hendak bekerjaama dengan semua persatuan termasuk Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM).
“Kita mahukan kerjasama ini bukan sahaja dari aspek untuk mempromosikan produk usahawan, tetapi juga dalam usaha untuk memberikan bantuan (kepada peniaga),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran Aplikasi dan laman sesawang Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Isnin.
Turut hadir ialah Presiden DPUKM, Dato’ Seri Abu Hasan Mohd Nor; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman; Timbalan Ketua Setiausaha MEDAC, Dato’ Zamri Salleh; Presiden Angkatan Koperasi Malaysia (Angkasa), Dato’ Abdul Fattah Abdullah; dan Setiausaha Agung DPUKM, Datin Seri Norliah Che Mohamad.

Menurut Noh, MEDAC ketika ini dalam usaha menjalankan kerjasama dengan persatuan- persatuan bagi mendapatkan maklumat berhubung golongan usahawan yang terkesan akibat bencana banjir tahun lalu.
Beliau berkata, usaha tersebut antara contoh kerjasama MEDAC dan persatuan supaya sebarang peruntukan yang disediakan kerajaan dapat disampaikan kepada sasarannya.
“Kalau kita tidak bekerjasama dengan persatuan-persatuan, amat sukar untuk kita dapatkan maklumat sebegini.
“Begitu juga jika terdapat sebarang bantuan yang perlu disampaikan kepada rakyat dan golongan usahawan, kita juga akan bekerjasama dengan persatuan supaya apa yang disediakan kerajaan, akan sampai kepada usahawan,” jelasnya.
Sehubungan itu, MEDAC dengan kerjasama (DPUKM) menganjurkan Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 yang bakal berlangsung selama lima hari bermula 24 Mac sehingga 28 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Sebanyak 2,000 lot pameran disediakan sepanjang HUN 2022 dengan kira-kira 300 lot pameran diperuntukkan buat usahawan luar negara.
Sementara, 100 pameran khas pula disediakan untuk selebriti tempatan. Orang ramai boleh layari www.hariusahawannegara.com.my mendapatkan maklumat lanjut mengenai HUN 2022. – HARAKAHDAILY 2/2/2022




















