
LONDON: Sekumpulan anak muda yang bekerja dengan Unit Pengurangan Keganasan (VRU) London telah menjalankan penyelidikan terhadap kesan imej pisau yang dirampas polis dan kemudian disiarkan dalam media sosial.
Kajian tersebut dibuat susulan 30 remaja terbunuh di ibu negara United Kingdom itu sepanjang tahun lalu, yang merupakan angka tertinggi dalam abad ini.
Pada 30 Disember 2021, seorang budak lelaki berusia 16 tahun maut selepas ditikam di barat London, menjadikannya mangsa pembunuhan remaja ke-30 di ibu negara Britain itu sepanjang 2021, memecah rekod pada 2008 yang mencatat 29 kematian remaja akibat dibunuh di sekitar London.
Pengarah VRU, Lib Peck berkata, hasil kajian itu adalah bagi memperjuangkan kebimbangan golongan muda di London.
Kumpulan Bertindak Anak Muda dalam VRU berkenaan ingin memahami dengan lebih baik sama ada kebimbangan mereka dikongsi oleh kumpulan anak muda dalam jangkauan lebih meluas di bandar raya tersebut.
Dewan Bandaraya London berkata, penyelidikan itu yang dijangka diterbitkan oleh Spring, akan mengkaji persepsi tentang isu orang awam yang membawa pisau di London dan tindak balas orang muda terhadap imej pisau yang disiarkan di media sosial.
Seorang anggota kumpulan anak muda berkenaan, Tyrell Davis-Douglin, 21, dari Croydon, menjelaskan, sebahagian daripada pendekatan VRU itu juga akan termasuk pemulihan berkesan ditawarkan kepada pengguna pisau tegar untuk membantu mereka mengubah tingkah laku negatif tersebut.
“Kami mahu mengkaji apakah kesan daripada tindakan polis menyiarkan imej pisau yang digunakan dalam jenayah terhadap komuniti tempatan kami.
“Apa yang kami dengar daripada golongan wanita dan lelaki muda lain adalah tentang ketakutan impak daripada pihak yang yang diberi kuasa untuk menyiarkan imej pisau di platform media sosial.
“Ini kerana ada cara yang lebih baik untuk mencapai matlamat bagi mengurangkan kadar jenayah berbanding menonjolkan senjata berbahaya kepada umum,” tegasnya.
Sehubungan itu, Dewan Bandaraya London berkata, hasil penyelidikan kajian berkenaan akan melengkap dan menyediakan konteks khusus kepada penyelidikan yang ditugaskan oleh VRU Scotland, Yorkshire Selatan dan Lembah Thames.
Terdahulu, pihak polis London tidak lagi menyiarkan imej pisau di akaun media sosial mereka kerana bimbang ia menjadi publisiti yang membuatkan orang ramai terbiasa dan kurang bimbang tentang jenayah membabitkan penggunaan pisau. – Agensi




















