
MELBOURNE: Mahkamah Australia memutuskan pada Isnin (10 Jan) bahawa Novak Djokovic dibebaskan daripada tahanan imigresen serta-merta, selepas mendapati keputusan kerajaan negara itu yang membatalkan visa bintang tenis berkenaan sebelum ini daripada memasuki Australia adalah sebagai ‘tidak munasabah’.
Hakim Anthony Kelly mengarahkan Djokovic dibebaskan dalam masa 30 minit dan pasport serta dokumen peribadinya yang lain dikembalikan kepadanya, yang kembali menghidupkan semula usaha pemain nombor satu dunia itu untuk memenangi rekod kejuaraan Grand Slam ke-21 pada Terbuka Australia 2022 yang bakal berlangsung dari 17 hingga 30 Jan ini
Kelly yang sebelum ini dalam prosiding telah mengkritik soal siasat selama berjam-jam ke atas Djokovic di lapangan terbang Melbourne ketika warga Serbia itu selepas mendarat pada hari Rabu (5 Jan), berkata, kedua-dua soal siasat dan pembatalan visa ‘adalah tidak munasabah’.
“Djokovic tidak diberi masa yang cukup untuk bercakap dengan penganjur tenis dan peguam untuk menjawab sepenuhnya selepas dia dimaklumkan tentang niat untuk membatalkan visanya,” hujah hakim berkenaan.
Peguam bagi kerajaan persekutuan Australia sebelum itu dalam hujahnya, memberitahu mahkamah bahawa menteri imigresen negara itu berhak menggunakan kuasa peribadinya untuk membatalkan sekali lagi visa Djokovic.
Selepas mengesahkan bahawa langkah sedemikian, jika diambil, akan menghalang Djokovic daripada memasuki negara itu selama tiga tahun, Kelly memberi amaran kepada peguam kerajaan bahawa ‘pertaruhan kini telah meningkat, bukannya surut’.
Jurucakap menteri itu, Alex Hawke, bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas tentang keputusan mahkamah berkenaan isu visa Djokovic berkenaan. – Agensi




















