Menteri Agama lancar Bicara Fail Syariah di TV Alhijrah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad melancarkan rancangan terbaharu di TV Alhijrah iaitu Bicara Fail Syariah.

Katanya, rancangan itu memberikan kesedaran serta informasi berkaitan isu-isu perundangan syariah dan kekeluargaan Islam.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, hari ini saya telah melancarkan sebuah rancangan terbaharu di TV Alhijrah yang diberi nama Bicara Fail Syariah.

- Advertisement -

“Bicara Fail Syariah adalah usaha kami di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama untuk memberikan kesedaran serta informasi berkaitan isu-isu perundangan syariah dan kekeluargaan Islam dalam negara kita,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, rancangan itu merupakan kolaborasi di antara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan TV Alhijrah.

“Hasrat saya agar persembahan rancangan ini lebih santai dan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat,” tambahnya.

Katanya, ia melibatkan isu-isu pernikahan dan penceraian, wasiat, faraid termasuklah isu keganasan rumahtangga dan sebagainya.

Pada masa yang sama, ujar beliau lain-lain isu perundangan syariah akan dibincangkan untuk meleraikan kekusutan yang ada.

“Insya-Allah, hari ini adalah siaran pertama dan saya amat berharap agar masyarakat dapat mengambil manfaat melalui program ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada TV Alhijrah.

Beliau sentiasa mahukan TV Alhijrah menjadi gerbang (one-stop centre) kepada ilmu dan maklumat yang sahih berkaitan agama Islam.

“Terima kasih JKSM yang merealisasikan hasrat kita bersama.

“Jangan lupa, saya menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk menonton rancangan Bicara Fail Syariah setiap hari Isnin jam 9.30 malam,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 10/1/2022

- Advertisement -