
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang membangunkan satu rangka tindakan sektor angkasa yang komprehensif, iaitu Malaysia Space Exploration 2030 (Malaysia Space-X 2030).
Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata rangka tindakan ini menggariskan strategi untuk tempoh sepuluh tahun bagi memacu pertumbuhan sektor angkasa negara.
Selain itu, katanya rangka tindakan itu bermatlamat mewujudkan ekosistem angkasa negara yang mampan, selaras dengan pelaksanaan Dasar Angkasa Negara (DAN) 2030, terutama teras keempat, iaitu menyumbang kepada ekonomi dan kesejahteraan negara.
“Terdapat empat inisiatif utama yang sedang dirancang dan akan dilaksanakan di bawah Malaysia Space-X 2030, iaitu pertama, Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN).
“Program ini akan dilaksanakan melalui kaedah Public-Private Partnership (PPP) untuk mewujudkan peluang kerjasama strategik antara kerajaan dan industri tempatan dalam pembangunan teknologi satelit buatan tempatan,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang bertanyakan perancangan MOSTI untuk membantu pembangunan industri angkasa negara dan menarik pelaburan dari luar agar terlibat dalam sektor angkasa negara bagi melengkapkan ekosistem angkasa negara.
Ahmad Amzad berkata, PSPJN berpotensi untuk meningkatkan pertumbuhan industri pembuatan komponen satelit, industri hiliran berasaskan data berteraskan teknologi angkasa dan industri sampingan.
Bagi inisiatif kedua, katanya ialah Pelan Strategik Industri Angkasa Negara 2030 yang dibangunkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Katanya, pelan strategik ini menetapkan matlamat, fokus dan keutamaan pelbagai aktiviti teknologi angkasa bagi memacu industri angkasa tempatan agar menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing.
Menurutnya, inisiatif ketiga ialah pemerkasaan kapasiti infrastruktur angkasa negara kerajaan dengan membangunkan infrastruktur teknologi maju angkasa bertaraf antarabangsa di bawah seliaan MYSA.
“Ini merangkumi fasiliti pemasangan, integrasi dan pengujian satelit dan fasiliti kawalan misi satelit di Banting serta Stesen Penerima Data Satelit Remote Sensing di Temerloh,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif keempat ialah pengukuhan kerjasama antarabangsa dalam sektor angkasa.
Menyedari perkara ini, katanya MOSTI akan mempertingkatkan jaringan kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi kecemerlangan di negara maju dalam bidang teknologi angkasa.
“Ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan negara dalam penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R,D,C&I) termasuk melalui pemindahan teknologi maju berkaitan angkasa seperti teknologi satelit, pelancar, sistem antena dan teknologi kecerdasan buatan dalam pemprosesan big data yang berkaitan bagi pembangunan kepakaran di sektor industri tempatan.
Sementara itu, katanya dalam membangunkan industri angkasa negara, MOSTI menggubal Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia yang dibentangkan di Dewan Rakyat dan diluluskan di Dewan Negara pada 9 Disember lalu. – HARAKAHDAILY 13/12/21




















