
NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: Dan hendaklah ada di kalangan kamu, satu umat yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh yang makruf/baik, melarang dari kemungkaran. Merekalah yang mendapat kemenangan. (Aali Imran: 104)
PAS kekal kerana memenuhi ciri-ciri dan sifat jemaah Islam. Kita mentarbiah ahli dengan sifat ahli jemaah Islam. Kumpulan Islam tetap akan ada, walaupun kita tidak menjadi kerajaan yang berkuasa penuh. Ini dijanjikan oleh Nabi SAW dalam hadis:
لَا يَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ
Sentiasa ada satu kumpulan dari umatku yang muncul hingga datang kepada mereka urusan Allah, sedangkan mereka terus teguh. (Bukhari 7311, Muslim 156)
Penubuhan PAS menepati ciri-ciri dalam ayat Al-Quran di atas:
1. ada umat, golongan, puak, parti, kumpulan yang menunaikan tanggungjawab.
2. Ada 3 ciri ditetapkan oleh Allah:
i) ajak kepada kebaikan. ‘Al-khair’ dalam ayat itu ialah merujuk kepada seluruh ajaran Islam. Kebajikan dengan makna hubungan dengan Allah dan manusia.
ii) suruh yang baik (al-amr bil-makruf) yang paling tinggi ialah dengan kuasa, mentadbir negara. Selepas itu dengan lidah dan hati.
iii) cegah mungkar (nahi mungkar) dengan menggunakan kuasa, kemudian lidah dan hati.
PAS juga punya kelebihan dari sudut pentarbiahan ahli. Sifat ahli yang bersama dengan kumpulan Islam ialah seperti yang disebut oleh Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Sesiapa yang berpaling dari agama di kalangan kamu, maka Allah akan datangkan satu kaum (yang sifat mereka ialah) Allah kasihkan mereka dan mereka kasihkan Allah, merendah diri terhadap orang mukmin, merasa mulia terhadap orang kafir (yang menentang mereka), mereka berjihad di jalan Allah, dan tidak takut celaan orang yang mencela. Demikianlah limpah kurnian Allah yang diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki. Dan Allah itu Maha Luas kurnia-Nya, Lagi Maha Mengetahui. (Al-Maidah: 54)
Sifat-sifat ini ditarbiah ke dalam diri ahli jemaah ini. Inilah rahsia kita bertahan selama 70 tahun. Walaupun kita tidak menjadi kerajaan pusat yang berkuasa penuh, namun kita terus kekal.
Kerajaan komunis di negara lain yang pernah memerintah negara, mereka akhirnya jatuh. Kita tidak pernah jatuh. Bahkan ahli kita semakin bertambah.
Dalam menghadapi musuh politik, kita dahulukan muwajah silmiyah (berdepan dengan jalan damai).
Hari ini kita mengenang pemimpin yang berjasa. Di sana ada pengikut yang tidak dikenali selama 70 tahun, tapi menjadi pejuang dan pendokong PAS yang istiqamah. Ada hadis yang menggambarkan demikian.
Kita parti yang kuat. Kita tidak perlu bergantung dengan yang lain. Parti lain yang bergantung dengan kita.
Kita letakkan Islam di hadapan. Sesiapa yang letak Islam di belakang, kita tolak.
PAS tidak pernah menyerah kalah dalam perjuangannya.
70 tahun usia manusia, nampak tua. Usia 70 tahun perjuangan, selagi belum menang, tidak tua. – HARAKAHDAILY 13/12/2021
Ucapan Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS sempena ulang tahun 70 tahun PAS: 1951-2021
(Catatan Ahad 12 Dis 2021 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.)











