
CANBERRA: Australia menandatangani perjanjian pertahanan bernilai AUS$1 bilion (RM3 bilion) dengan Korea Selatan pada Isnin (13 Dis), meningkatkan lagi usaha Seoul untuk mengembangkan eksport produk ketenteraannya.
Perdana Menteri Australia berkata, di bawah syarat perjanjian itu, syarikat pertahanan Korea Selatan, Hanwha Corp (Hanwha) akan membekalkan 30 howitzer bergerak sendiri dan 15 kenderaan bekalan semula peluru berperisai untuk Australia.
“Ia adalah satu perkembangan penting dalam perjalanan industri pertahanan Australia kerana kami terus membina keupayaan berdaulat kami dan Korea (Selatan) adalah rakan kongsi penting dalam perjalanan itu,” ujarnya kepada media.
Perjanjian itu meletakkan Hanwha sebagai syarikat utama untuk kontrak AUS$30 bilion Australia yang dirancang bagi membina kenderaan tempur infantri sistem pertahanan ketenteraannya, lapor CNA.
Walaupun perjanjian pertahanan itu menjadi tajuk utama lawatan empat hari Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in ke Australia, kedua-dua negara berkata mereka juga bersetuju untuk bekerjasama rapat untuk membantu memastikan bekalan eksport mineral kritikal Australia untuk sektor teknologi Korea Selatan.
Australia merupakan pengeskport mineral kritikal titanium, zirconium dan tantalum nombor satu global; dan antara lima negara pengeksport mineral kritikal antimoni, kobalt, litium, manganese ore, niobium, tungsten dan vanadium tertinggi dunia.
Negara Sekutu Barat dalam beberapa bulan kebelakangan ini telah bergerak untuk mengurangkan pergantungan mereka kepada China di tengah-tengah kebimbangan yang memuncak tentang kawalan Beijing ke atas sektor mineral kritikal.
Korea Selatan memerlukan bekalan mineral yang banyak setelah berikrar untuk menjadi kuasa pembuatan bateri global menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk menjadi neutral karbon menjelang 2050.
Australia membekalkan kira-kira 40 peratus daripada import mineral kritikal kepada Korea Selatan. – HARAKAHDAILY 13/12/2021




















