Pasar Siti Khadijah johan Pasar Awam Terbersih Peringkat Kebangsaan 2021

Suasana Pasar Siti Khadijah. (Gambar fail)
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Pasar Besar Siti Khadijah dinobatkan sebagai  johan kategori Pasar Awam Terbersih, manakala program Kempen Pembasmian Denggi di Kampung Wakaf Stan pula naib johan kategori Kempen Membasmi Denggi sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021.

Majlis Anugerah yang berlangsung di Dewan Kristal, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, di Putrajaya baru-baru ini dirasmikan Menterinya, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican menyaksikan sebanyak 105 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara menyertai pertandingan berkenaan dalam empat kategori yang dipertandingkan.

- Advertisement -

Hadir bagi menerima kedua-dua anugerah berkenaan ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Pasar Siti Khadijah yang terletak di Jalan Buluh Kubu, Bandar Kota Bharu ini sememangnya terkenal dalam kalangan warga Kelantan mahupun pelancong luar.

Nama asalnya ialah Pasar Besar Buluh Kubu, namun telah ditukar kepada nama sekarang oleh bekas Menteri Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita.

Satu pemandangan yang unik di Pasar Siti Khadijah ialah peniaganya yang rata-rata terdiri daripada kaum wanita yang terkenal dengan minat berniaga.

Sebanyak 105 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara menyertai pertandingan dalam empat kategori sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021.

Pasar ini mempunyai empat tingkat dan berbentuk segi lapan. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. Tingkat satu pula diperuntukkan kepada barangan makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal.

Selain itu terdapat ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling tersohor bagi rakyat negeri Kelantan. Juga terdapat kuih tradisional Kelantan seperti kuih tahi itik, akok, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita dan pelbagai kuih lain.

Sementara tingkat dua dan tiga dikhususkan untuk barangan bukan makanan termasuk kain dan pakaian.

Zainal ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas kedua-dua anugerah tersebut.

Menurutnya, pencapaian itu atas sokongan semua pihak bermula daripada warga kerja MPKB-BRI, operator kebersihan, peniaga, warga Kota Bharu serta pelancong yang mengunjungi pasar tersebut.

Tuan Zainal Abidin hadir menerima kedua-dua anugerah yang diraih MPKB-BRI sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Putrajaya baru-baru ini.

“Mereka bersama-sama menjaga kebersihan pasar. Kejayaan ini besar ertinya dan diharap menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja keras menjaga kebersihan Bandar Kota Bharu,” katanya, di sini, semalam.

“Kejayaan ini sekali gus membuktikan kempen Kelantanku Bersih yang dilaksanakan kerajaan negeri mula menampakkan hasil,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 16/11/2021

- Advertisement -