
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Lima negeri dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dijangka terjejas sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL), iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.
Selain itu, sebanyak 1,474 cerun yang mempunyai tahap bahaya sederhana sehingga sangat tinggi dikenal pasti melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, berkata MTL yang kebiasaan bermula antara Oktober sehingga Mac tahun berikut dengan beberapa siri kejadian hujan lebat.
Menurutnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa memastikan kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi bencana MTL setiap tahun.
Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan daerah juga diarahkan untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga dan membuat persiapan rapi dari aspek tenaga kerja, jentera dan logistik, serta penyelenggaraan bagi menghadapi musim tengkujuh.
“KKR juga menghasilkan Peta Bahaya dan Risiko Cerun untuk cerun-cerun di sepanjang Jalan Persekutuan di Malaysia pada tahun 2020.
“Selain itu, KKR mengadakan beberapa siri libat urus bersama NADMA serta agensi lain dalam persediaan menghadapi MTL,” katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) di Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Hassan meminta Menteri Kerja Raya menyatakan persediaan KKR dalam mengenal pasti jalan dan cerun yang berpotensi runtuh bagi menghadapi musim tengkujuh dalam tempoh terdekat, terutama di negeri Pantai Timur.
Menerangkan usaha lain KKR menangani bahaya ketika MTL, katanya Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) telah memasang Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS) di lokasi berisiko melalui penggunaan sistem telemetri yang akan memberi amaran awal apabila indeks curahan hujan pada tolok hujan melebihi tahap amaran.
“Terdapat 48 stesen tolok hujan di seluruh Malaysia dengan 36 stesen terletak di Semenanjung Malaysia. Tolok hujan ini dipasang di Jalan Persekutuan yang berpotensi berlaku cerun runtuh dan beberapa laluan kritikal lagi.
“CKC juga akan memberikan amaran awal kepada JKR Daerah berdasarkan data hujan yang diperoleh daripada Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh dan data pergerakan cerun yang dipasang pada cerun yang berisiko,” katanya.
Beliau berkata, JKR Daerah juga melakukan rondaan selepas berlaku hujan lebat di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku tanah runtuh.
Selain itu, katanya JKR akan mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) ketika musim tengkujuh bagi memantau dan menyebarkan maklumat kepada pengguna jalan raya.
“KKR melalui Program Pendidikan dan Kesedaran Awam (PAE) telah membuat edaran maklumat kesedaran terhadap tanda-tanda awal tanah runtuh yang diterbitkan dalam akhbar utama nasional,” katanya.
Menurutnya, KKR juga memantau cerun di kawasan lebuh raya, terutama Lebuh raya Kuala Lumpur – Karak (KLK) yang dikategorikan sebagai paling kritikal kerana terletak di kawasan berbukit dan dikelilingi cerun yang berisiko tinggi.
Katanya, KKR juga memantau Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) dan Lebuh raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), manakala Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) bersama syarikat konsesi lebuh raya mengambil beberapa langkah persediaan bagi memastikan cerun di lebuh raya berada di tahap yang terbaik. – HARAKAHDAILY 9/11/21




















