
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional Parlimen Kluang (PN Kluang) meletakkan keyakinan penuh kepada calon-calon mewakili parti PN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula semalam dengan sesi penamaan calon.
Calon-calon yang mewakili Bersatu, PAS dan Gerakan telah dipilih berdasarkan kepada latar belakang pendidikan, pengalaman politik dan penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan dilihat sangat layak untuk diberikan peluang bagi mewakili rakyat Melaka dalam Dewan UNdangan Negeri (DUN) Melaka demi kesejahteraan rakyat di sana.
Demikian kata Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ketua Bahagian Bersatu Parlimen Kluang, Mohd Nor Lingan dan Pengerusi Gerakan Bahagian Kluang, Pang Wui Ming dalam kenyataan bersama, hari ini
Menurut mereka, kejayaan kerajaan PN dalam pengurusan pandemik dan bantuan untuk rakyat hasil daripada usaha dilakukan kerajaan PN menjadi kayu ukur bagi pengundi di Melaka untuk memilih calon-calon PN.
Justeru, ujar mereka PN Kluang mengajak semua rakyat Melaka untuk berani melakukan perubahan.
“Inilah peluang dan ruang untuk penduduk Melaka mewujudkan kerajaan yang berwibawa, bersih dan berintegriti,” kata mereka lagi.
PRN Melaka menyaksikan seramai 112 calon layak bertanding, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.
Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula, menyaksikan pertembungan lima penjuru.
Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru. – HARAKAHDAILY 9/11/2021











