Kematian akibat serangan jantung

- Advertisement -

KEMATIAN akibat serangan sakit jantung adalah antara 5 penyebab kematian yang tertinggi dalam negara kita. Trend kematian ini adalah tertinggi sejak dari 20 tahun yang lalu (boleh rujuk statistik dari DOSM). Merisaukan kita, satu dari tiga kes kematian (35 peratus) berumur lebih daripada 41 tahun adalah akibat dari serangan sakit jantung. Dengan kata lain secara purata kematian serangan jantung sebanyak 46 kes sehari. Membimbangkan juga trendumur lebih muda pun meningkat. Saya pernah menguruskan kes serangan jantung berumur 18 tahun.

Satu kajian dijalankan oleh pengkaji Korea, mendapati proses pembentukan Aterosklerosis (salur darah tersumbat) yang menjadi punca utama serangan jantung bermula sejak seseorang berumur 10-14 tahun lagi. Salur darah tersumbat – Itulah punca yang menyebabkan seseorang itu mati mengejut.

- Advertisement -

Ateroskelorosis akan menyebabkan darah tidak sampai ke sel-sel dinding jantung, akhirnya sel itu rosak dan mati. Tetapi fenomena Aterosklerosis ini bertindak secara perlahan. Bukannya kita makan makanan berlemak hari ini, terus 24 jam Ateroma terbentuk dan saluran darah tersumbat seterusnya mati! Pembentukan Ateroma mengambil masa bertahun lamanya.

Pembentukan plak Ateroma (gumpalan lemak dinding salur darah) berlaku secara perlahan tanpa disedari. Oleh itu setiap individu tidak mengetahui dengan tepat bila proses Aterosklerosis ini berlaku. Inilah kemerbahayaannya. Malah jika kita membuat saringan kesihatan pun, tidak dapat dikesan dengan mudah dan tepat.

Walau setiap tahun kita menjalani pemeriksaan kesihatan, tiada penyakit kronik, tidak merokok dan berat badan pun ideal, risiko Ateroskelorosis tetap wujud. Tidak dinafikan penyumbang terbesar kepada berlakunya Ateroskelorosis itu adalah kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, merokok dan kencing manis, namun faktor yang tidak boleh diubah seperti; jantina -lelaki, keturunan – sejarah keluarga yang menghidap sakit jantung, tetap menghantui setiap kita.

Bagaimana jantung tersumbat itu dapat dikesan? Kaedah paling baik untuk kesan Ateroskelorosis adalah melalui ujian Angiografi. Ianya satu ujian X-Ray khas hanya boleh dilakukan di hospital terpilih sahaja. Klinik kesihatan tidak melakukan ujian Angiografi ini. Jika seseorang mendakwa jantung beliau tersumbat setelah buat pemeriksaan kesihatan biasa di klinik, bermakna dakwaan itu tidak tepat. Ianya mungkin diagnosis terhampir atau andaian pengamal perubatan berdasarkan beberapa tanda yang dia hadapi. Namun ujian secara diagnostik atau pengesahan adalah melalui Angiografi. 

Cuma, Angiografi ini sukar untuk dilakukan kepada semua orang. Ini kerana Angiografi ini memerlukan pakar yang buat. Begitu juga kos yang tinggi bagi beli alatan Angiografi. 

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 9/11/2021

Rujukan:

[1] DOSM. Statistik Kematian di Malaysia. 2020. https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=401&bul_id=QTU5T0dKQ1g4MHYxd3ZpMzhEMzdRdz09&menu_id=L0pheU43NWJwRWVSZklWdzQ4TlhUUT09 
[2] Hong YM. Atherosclerotic cardiovascular disease beginning in childhood. Korean Circ J. 2010;40(1):1-9. doi:10.4070/kcj.2010.40.1.1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2812791/ 
[3] https://www.healthline.com/health/heart-disease/atherosclerosis-when-it-starts#causes

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1033106371/posts/10223828332589585/  

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -