Rakyat mahu kehidupan kembali stabil, politik tak pincang

- Advertisement -

Oleh  KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Calon-calon wakil rakyat perlu memahami  aspirasi rakyat yang mahu agar kehidupan kembali stabil, selain tiada lagi kepincangan politik agar pihak pentadbir dapat menguruskan negara ini dengan baik sehingga masalah ekonomi dapat diselesaikan, serta perhatian terhadap situasi jangkitan Covid-19 terus diambil perhatian, walaupun Malaysia kini sudah masuk ke Fasa 4 pemulihan.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM)  Shahir Adnan berkata, rakyat tidak mahu kembali kepada situasi Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) yang mana penularan Covid-19 menjadi teruk. 

- Advertisement -

Menurutnya, umum mengetahui bahawa politik di negara ini pasca pilihan raya umum ke 14  (PRU-14) adalah genting dan tidak stabil. Setelah beberapa kali bertukar Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan, keadaan sama dilihat dalam kerajaan-kerajaan negeri yang mempunyai majoriti tipis.

“Kali ini, kemelut politik di Melaka menyaksikan pilihan raya negeri (PRN) tidak dapat dielakkan lagi  disebabkan angkara kerakusan kuasa pihak-pihak tertentu, tanpa memikirkan keluh-kesah rakyat.

“PRN  Melaka menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shahir berkata, secara tersuratnya, Muafakat Nasional (MN)  kini ada sejarah silam retorik perkongsian kuasa tatkala menjadi pembangkang. 

“Muafakat Nasional tidak pernah didaftarkan, maka ia bukanlah entiti parti politik seperti PN atau BN.

Katanya, BN yakin untuk berhadapan dengan PN dan PH di Melaka, yang diyakini kubu kuat mereka. Secara tersuratnya juga, parti-parti politik mula mengetengahkan pemimpin-pemimpin muda sebagai calon yang lebih segar dan tiada ‘political baggage’.

Tambah beliau, secara tersiratnya pula, politik tanah air kekal dinamik kerana pengkongsian kuasa di peringkat persekutuan antara PN dan BN tidak terjejas dengan pilihan raya peringkat negeri.

“Ahli-ahli politik kekal berebut kuasa tanpa memikirkan nasib rakyat. Jika mereka fikirkan nasib rakyat, tidak akan berlaku perebutan kuasa dan lompat-melompat seperti keadaan di Melaka dan Sabah. Secara tersiratnya juga, kemelut politik tidak akan berakhir hingga undang-undang anti lompat parti dilaksanakan,” jelasnya. 

Rentetan itu,DPIM akan turun berkempen bersama-sama rakan-rakan parti dalam usaha mengetengahkan calon-calon berwibawa untuk menjadi wakil dan suara kepada rakyat.

Katanya lagi, calon berintegriti adalah aset kepada rakyat agar mereka tidak melompat-lompat parti dek kerana habuan politik. -HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -