
KUALA NERUS: Menyatupadukan parti-parti Melayu Islam dan juga parti bukan-Islam yang tidak ekstrem serta mempunyai titik persamaan menerima Perlembagaan Persekutuan mestilah terus diusahakan.
Perwakilan PAS Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, usaha tersebut telahpun dijayakan dengan pembetukan Muafakat Nasional (MN) dan penubuhan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, kejayaan tersebut kerana mendukung agenda besar perpaduan melibatkan kalangan mereka yang mempunyai persamaan konsep untuk berpegang kepada tali Allah dan tidak berpecah belah.
“Kita menolak semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda hendak merungkai asas penting ini daripada petunjuk Islam yang telah wujud dalam Perlembagaan sehingga mereka bermatlamat unutk meminggirkan Islam dan juga kepimpinannya,” tegasnya.
Beliau berucap membahas Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan ‘Islam Menyatukan Ummah’ dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.
Jelas beliau, perpaduan sesama Islam berteraskan prinsip persaudaraan dan iman sebagaimana diteladankan Rasulullah S.A.W telah menghapuskan kebanggaan diri dan fanatik perkauman serta kekeluargaan yang menjadi kebanggaan bangsa Arab suatu ketika dahulu.
Namun ujarnya, terbukti apabila penyatuan tersebut dapat diwujudkan, ianya telah seterusnya membentuk perpaduan itu disertai oleh golongan bukan-Islam yang terdiri daripada kaum Yahudi Kristian dan juga Majusi.
Malah katanya, gagasan penyatuan yang digagaskan PAS itu adalah selari dengan Perlembagaan PAS yang antaranya menyeru umat kepada manusia kepada syariat Allah melalui dakwah secara tulisan dan amalan.
“Apabila tiba masa Tuan Guru Presiden kata kita kena belok ke kanan, maka kita kena belok ke kanan. Jangan ada yang belok ke kiri. Kalau Tuan Guru Presiden kata kena belok ke kiri, janganlah ada yang belok ke kanan.
“Dan kadang-kadang kita melalui satu perjalanan yang begitu panjang, tiba-tiba Tuan-Guru Presiden kata kena u-turn, kena patah balik, jadi kena u-turn.
“Kalau naik motor, penunggang motor dia cenderung ke kiri, janganlah pula pembonceng dia cenderung ke kanan. Dua-dua kena cenderung ke kiri supaya tak jatuh motor supaya tak rebah,” ujarnya mengajak perwakilan menuruti strategi kepimpinan. – HARAKAHDAILY 6/11/2021











