Agenda kebajikan PAS dilancar sejak 2017

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

- Advertisement -

KUALA NERUS: Dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051) yang dilancar pada program FASTAQIM 2.0 di Kuala Nerus pada 2017 dianggap sebagai terbaik dengan menawarkan program kebajikan kepada rakyat.

Perwakilan Pahang, Mohd Khairuddin Abdullah berkata, WINS dilancarkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mencakupi 10 prinsip umum.

Katanya, prinsip kedua WINS iaitu melahirkan insan berkualiti rohani dan fizikal sebagai aset terpenting negara dianggap tepat pada masanya.

“Kita bukan hanya memberi ikan, sebaliknya memberi pancing bagi membolehkan rakyat berdikari bagi mencari rezeki,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden pada muktamar di Duyung Resort petang ini.

WINS yang dilancar pada himpunan ratusan di Pantai Tok Jembal menjadi garis panduan untuk mentadbir negeri atau negara.

Dan kini selepas lima tahun WINS PAS berada bersama kerajaan Persekutuan bagi membolehkan dasar tersebut dilaksanakan secara berperingkat.

WINS juga menggariskan kekayaan dan hasil tempatan adalah milik bersama negara, bukan dimonopoli oleh sebahagian pihak sahaja.

Mohd Khairuddin juga berkata, konsep WINS boleh dimanfaatkan ketika kempen pilihan raya di tempat Orang Asli.

“Ini kerana mereka akan tanya kalau PAS menang apa yang hendak bagi kepada rakyat. Rupanya perkara itu sudah terkandung dalam WINS.

“Begitu juga hendak tackle anak muda, perkara itu sudah disebut dalam perlembagaan PAS dengan menarik anak muda setelah mereka mencapai akil baligh.

Perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat, Mohd Najhan Abdul Halim pula berkata,
PAS perlu kekal matlamat utama dalam membawa penyatuan ummah demi memastikan Islam terus terjaga dan terpelihara.

Katanya, penyatuan ummah bukan sekadar untuk menghadapi kecamukan politik negara yang berlaku sekarang.

Akan tetapi katanya, ia merupakan satu langkah dan jalan untuk menyelesaikan dan menghadapi ancaman dan anasir luar yang sentiasa melihat peluang pepecahan dalam kalangan umat Islam.

“Islam menyatukan ummah adalah tema yang dipilih adalah kronologi mesej jelas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggalakkan umat Islam dan rakan-rakan dalam masyarakat majmuk dan ia bukan sekadar hanya untuk menghadapi pilihanraya semata.

“Ucaptama Presiden merupakan asas dan agenda penyatuan ummah malah ia juga merupakan satu misi dan tugas yang tidak berhenti sampai bila-nila sehingga tercapai maksud penyatuan ummah sebagaimana ditegaskan oleh PAS sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -