
Oleh YUSMAN AWANG
TOKYO: Penumpang sebuah kereta api di laluan Tokyo yang sedang menuju ke parti Halloween di bandar raya itu dikejutkan oleh seorang lelaki berpakaian kostum Joker yang tiba-tiba menyerang mereka, menyebabkan 17 orang cedera pada petang Ahad.
Saksi di lokasi kejadian berkata, suspek memakai baju hijau dan sut berwarna ungu dan menyembur sejenis cecair jernih di sekeliling gerabak itu sebelum mula membakarnya. Rakaman video menunjukkan penumpang berlari melalui gerabak untuk menjauhi api manakala yang lain memanjat melalui tingkap.
“Saya fikir ia adalah aksi lakonan Halloween,” seorang saksi memberitahu akhbar Yomiuri mengenai serangan itu.
“Kemudian, saya melihat seorang lelaki berjalan ke arah kami, dan perahan-lahan melambaikan pisau panjang kepada kami.”
Serangan berlaku pada kira-kira 20:00 waktu tempatan (11:00 GMT) berhampiran stesen Kokuryo, di pinggir barat bandar raya itu.
Laporan media mengatakan lelaki itu telah ditangkap oleh polis di tempat kejadian. Menurut laporan berita Kyodo pula, penyerang memberitahu polis, dia memuja watak Joker dalam komik Batman.
Joker ialah penjahat super dalam komik tersebur dan merupakan musuh ketat karakter superhero, Batman. Filem blockbuster Hollywood, Joker (2019), yang dibintangi pelakon Joaquin Phoenix sebelum ini memaparkan adegan di mana dia menyerang beberapa lelaki di dalam sebuah kereta api selepas berulang kali diganggu oleh mereka. Ia adalah detik penting, menandakan permulaan transformasi wataknya daripada seorang yang lemah dan sering diejek orang ramai menjadi Joker.
Agensi berita NHK pula memetik polis sebagai berkata bahawa lelaki itu berkata dia ‘mahu membunuh seseorang sejak Jun lalu’ kerana dia telah berhenti kerja dan melihat persahabatannya dengan banyak orang berantakan. Lelaki itu menambah bahawa dia berpakaian seperti Joker kerana hanya Joker ‘memahami dirinya’.
Laporan media tempatan juga melaporkan bahawa suspek memberitahu pihak berkuasa dia mahu membunuh orang ramai supaya dia boleh dijatuhkan hukuman mati.
Agensi berita AP, memetik Jabatan Bomba Tokyo sebagai berkata, tiga daripada penumpang kereta api berkenaan yang cedera mengalami kecederaan serius. Media tempatan pula melaporkan seorang lelaki warga emas tidak sedarkan diri selepas ditikam dalam serangan itu.
Rakaman video dari tempat kejadian menunjukkan penumpang bertempiran melarikan diri daripada penyerang, tersandung melalui pintu penghubung antara gerabak dan memanjat melalui tingkap kereta api selepas kereta api membuat perhentian kecemasan.
Shunsuke Kimura, yang merakam salah satu video, memberitahu NHK bahawa adegan itu sangat ‘mengerikan’.
“Pintu kereta api ditutup dan kami tidak tahu apa yang berlaku, dan kami melompat dari tingkap,” katanya.
Jenayah kekerasan jarang berlaku di Jepun tetapi terdapat beberapa serangan pisau berprofil tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sepuluh orang cedera diserang oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau di dalam sebuah kereta api komuter Tokyo pada Ogos tahun ini.
Pada 2019, seorang lelaki menyerang sekumpulan pelajar sekolah yang menunggu bas di Kawasaki, membunuh dua orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 18 yang lain. – HARAKAHDAILY 2/11/2021




















