
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Seramai 212,926 pendatang tanpa izin (PATI) sudah berdaftar dengan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, untuk digaji sebagai pekerja asing yang sah di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata sebanyak 11,751 majikan juga menyertai program yang berakhir 31 Disember ini untuk mengambil PATI sebagai pekerja mereka.
Daripada jumlah PATI yang berdaftar dalam program ini, katanya seramai 122,075 orang mendaftar di sektor pembinaan, perkilangan (65,484), pertanian (12,003) dan perladangan (7,176).
“Melalui program ini juga, seramai 147,705 PATI memilih untuk pulang ke negara asal mereka dengan jumlah kompaun yang dikenakan kira-kira RM71 juta,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan asal Tebrau, katanya Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pada 22 Oktober lalu bersetuju dengan cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) kemasukan pekerja asing ke Malaysia bagi semua sektor yang dibenarkan.
Katanya, sektor perladangan menjadi sektor pertama yang dibenarkan untuk menerima kemasukan pekerja asing baharu.
“Kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan kemasukan seramai 32,000 orang pekerja asing secara pengecualian khas bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk sektor perladangan, terutama kelapa sawit.
“SOP yang sama akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan secara kes mengikut kes oleh Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan masih lagi meneliti jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi setiap sektor yang dibenarkan.
Menurutnya, kementerian dan agensi kerajaan berkaitan sedang melaksanakan analisis terperinci mengenai perkara ini bagi memastikan kerajaan mempunyai hala tuju strategik dalam mencapai keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan ketika negara masih berusaha memerangi Covid-19. – HARAKAHDAILY 2/11/21




















