
MALAYSIA telah mula membuat pembelian vaksin pada Ogos 2020 dan menerima bekalan pertama vaksin Pfizer BioNTech sebanyak 312,390 dos pada 21 Februari 2021. Pada 24 Februari yang lalu, pendaftaran untuk pengambilan vaksin dibuka kepada penduduk Malaysia melalui aplikasi MySejahtera.
Pada hari yang sama, mantan YAB Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin menjadi orang pertama divaksinasi di Malaysia menandakan permulaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan lebih RM4 bilion bagi perolehan vaksin merangkumi 140 peratus daripada populasi negara kita.
Pelaksanaan PICK merangkumi rancangan yang komprehensif meliputi pra-pelaksanaan, pelaksanaan dan pasca pelaksanaan, yang mengambil kira penyediaan fasiliti, koordinasi tenaga kerja, garis panduan, pemantauan, pelaporan dan infrastruktur sokongan bagi memastikan keseluruhan fasiliti yang selesa dan selamat untuk rakyat.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) merupakan program imunisasi terbesar yang pernah dilaksanakan di negara kita. PICK yang pada mulanya dianggap mustahil untuk memvaksinasi seluruh penduduk Malaysia pada tempoh yang singkat, kini telah berjaya dicapai malah awal dari jangkaan yang sepatutnya. Bloomberg pada awalnya meramalkan Malaysia akan mengambil masa 5 tahun untuk mencapai imuniti kelompok tetapi setelah melihat kejayaan Malaysia yang mampu mencapai 500,000 dos sehari secara purata, Bloomberg meramalkan Malaysia akan mencapai imuniti kelompok dalam masa 5 bulan.
Menerusi perancangan awal, sasaran PICK bagi mencapai sasaran 80 peratus penduduk Malaysia menerima vaksin dijangka diselesaikan pada Februari 2022. Namun, tempoh masa ini telah disingkatkan kepada Disember 2021 apabila mengambil kira keadaan penularan COVID-19 yang sangat membimbangkan untuk tempoh beberapa bulan pada awal tahun ini. Alhamdulillah, kejayaan yang sangat membanggakan apabila kita telah mencapai 80 peratus daripada populasi dewasa pada bulan Oktober, 2 bulan awal daripada jangkaan yang kita rancangkan.
Ini adalah hasil daripada strategi memperkasakan kadar vaksinasi yang kita laksanakan melalui pelbagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bermula dengan Malaysia International Trade and Exhibtion Centre (MITEC) pada 31 Mei 2021. Selain itu, hasil kerjasama dengan pihak swasta dan kementerian lain dan menjalankan outreach program untuk memastikan tiada siapa yang tercicir daripada mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19 sekiranya layak termasuklah golongan rentan dan rakyat asing.
Alhamdulillah, sehingga 21 Oktober 2021 telah mencapai 48,673,215 dan peratusan populasi dewasa yang lengkap divaksinasi telah mencapai 94.3 peratus. Pencapaian ini adalah atas semangat tinggi tanpa mengira penat lelah para petugas CITF. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas semangat dan komitmen semua khususnya KKM, penglibatan semua Kementerian melalui CITF Persekutuan, kerjasama semua negeri-negeri, ATM, PDRM, APM, RELA dan para sukarelawan yang telah banyak membantu dalam pelaksanaan PICK.
Sepanjang keterlibatan saya dari awal di dalam Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 (CITF) yang telah melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), saya yakin ini adalah kejayaan kita bersama untuk Keluarga Malaysia. Saya telah ditugaskan untuk mengkoordinasi Pusat Pemberian Vaksin (Awam) di seluruh negeri.
Saya telah turun ke lapangan untuk melihat sendiri perjalanan PICK. Masih segar dalam ingatan saya, seorang ‘uncle’ berbangsa Cina jatuh pengsan betul-betul di depan saya ketika beratur menunggu giliran untuk mengambil vaksin.
Saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan atas usaha kolektif semua pihak dalam menjayakan PICK ini.
YB DATO’ AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 2/11/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/watch/?v=281030630505551&extid=NS-UNK-UNK-UNK-UNK_GK0T-GK1C&ref=sharing











