
APABILA kita bercakap mengenai perumahan yang sempurna untuk rakyat hampir setiap dari kita akan memikirkan rumah yang mampu dimiliki oleh semua. Begitu juga hampir setiap pemimpin kerajaan atau pemimpin politik akan memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk memastikan rakyat dapat membeli rumah mereka sendiri.
Saya yakin Menteri baharu yang bertanggungjawab ke atas perumahan akan turut memikirkan yang sama. Walau bagaimanapun memastikan rakyat memiliki rumah sendiri adalah hanya sebahagian dari tanggungjawab.
Tanpa menafikan betapa penting bagi memiliki rumah sendiri namun ia adalah matlamat akhir dan perjalanan ke arah matlamat itu tidak sama bagi setiap individu atau keluarga. Mereka terpaksa melalui cabaran-cabaran yang berliku sebelum mencapai hasrat mereka. Malah selepas memilikinya masalah mereka tidak berakhir di situ.
Berikut adalah saranan kepada Kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang baharu:
1. Memastikan rakyat mampu memiliki kediaman sendiri yang sempurna.
2. Memastikan rakyat mampu menyewa kediaman yang berkualiti.
3. Memastikan kediaman rakyat berada di dalam keadaan yang sempurna.
Justeru itu, memiliki kediaman yang sempurna bukan bermakna membeli rumah yang berkualiti semata-mata tetapi aksebiliti bermakna sama ada membeli atau menyewa. Malah setelah mereka menduduki kediaman mereka, kediaman dan kejiranan mereka perlu berada di dalam keadaan yang sempurna dan sejahtera. Masalah selalu timbul di pembangunan kediaman berstrata.
Kesemua ini adalah sebahagian dari 5 Fokus Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-25 tetapi memerlukan penekanan dan pengolahan yang sesuai dengan keperluan dan keadaan semasa.
Mampu memiliki kediaman yang sempurna.
Ada pelbagai kempen dan skim untuk memudahkan rakyat memiliki rumah sendiri. Sekarang sedang berlangsung Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang telah dilanjutkan hingga bulan Disember 2021. Di antara insentif HOC ini adalah pengecualian duti setem 100 peratus ke atas Instrumen Pindah Milik bagi hartanah kediaman berharga sehingga RM1 juta dan pengecualian duti setem 50 peratus bagi hartanah yang berharga antara RM1 juta ke RM2.5 juta.
Terdapat juga Skim Rumah Pertamaku di mana pembeli rumah boleh mendapat pembiayaan sehingga 110 peratus dan tidak perlu memikirkan mengenai deposit. Skim ini yang dilancarkan oleh kerajaan dalam tahun 2011 dan telah melibatkan 23 bank.
Walau bagaimanapun masih ramai yang tidak mengetahui mengenai kempen atau skim yang ditawarkan dan publisiti yang meluas diperlukan. Selain dari itu masih terdapat kelompok yang masih tertinggal.
Kita kerap mendengar komen-komen yang mengatakan pendapatan rakyat adalah rendah dan kos membina rumah, seperti kos tanah, adalah tinggi. Kita tidak boleh menunggu sehingga pendapatan rakyat meningkat sehingga mereka dapat memiliki rumah. Perlu ada cara-cara baru yang kreatif.
Kerajaan-kerajaan negeri memiliki polisi yang mewajibkan pemaju membina rumah mampu milik seperti rumah kos rendah dan menjualnya dengan harga yang lebih rendah dari kos membinanya. Walau bagaimanapun di dalam keadaan ekonomi hari ini mungkin ia amat membebankan kepada pemaju.
Kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih besar. Salah satu inisiatif kerajaan adalah pelancaran Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dalam tahun 2011. Walau bagaimanapun, pada bulan Mei 2019, Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia ketika itu berkata perbadanan tersebut mungkin dibubarkan. Tetapi pada bulan Januari 2020, Menteri Perumahan berkata perbadanan tersebut tidak akan dibubarkan dan akan menjadi sebahagian dari Perbadanan Perumahan Negara yang akan bertanggungjawab mengendali dan ke atas piawaian industri perumahan.
Negara kita memerlukan satu badan utama untuk memastikan agar hasrat rakyat memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan. Hari ini terdapat banyak pihak seperti di peringkat negeri-negeri yang turut membina rumah rakyat. Perlu ada perancangan yang bersepadu tetapi ini mungkin sukar hendak dilaksanakan kerana parti-parti yang berbeza menjadi kerajaan di negeri-negeri. Malah walaupun Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dari blok politik yang sama ini tidak menjamin mereka akan bercakap dalam nada yang sama. Polisi-polisi kerajaan negeri adalah berbeza tambahan pula dalam isu seperti tanah yang merupakan hak kerajaan negeri.
Di Singapura, mereka memiliki Housing Development Board (HDB) di mana pada tahun 2020, 81 peratus dari penduduk republik itu tinggal di kediaman yang dibina oleh HDB. PR1MA boleh memainkan peranan yang sama. Mungkin tidak menguasai keseluruhan industri perumahan rakyat seperti di Singapura namun ia perlu menjadi ‘Abang Besar’ di dalam industri tersebut.
Walaupun projek-projek ini dikendalikan oleh PR1MA namun harga rumah tidak mungkin dapat diturunkan dengan drastik kerana kos bahan binaan dan tenaga kerja tetap sama. Di sini kita boleh belajar dari negara Barat di mana rakyat boleh membeli sebahagian dari rumah mereka jika mereka tidak mampu membeli keseluruhannya.
Menurut skim ini seperti di UK, pembeli membeli ‘share’ atau bahagian di dalam pemilikan rumah mereka. Ia mungkin 30 peratus atau ia mungkin 50 peratus. Bahagian ini boleh ditambah apabila kemampuan kewangan mereka meningkat. Baki bahagian yang tidak dimiliki oleh mereka akan dimiliki oleh pelabur atau institusi kewangan atau di Malaysia mungkin PR1MA.
Tetapi mustahil untuk setiap rakyat mampu membeli rumah mereka sendiri. Terdapat mereka yang memiliki pendapatan yang begitu rendah dan tidak mungkin mereka mampu membeli rumah. Terdapat juga yang tidak berminat. Dalam kes-kes seperti ini perlu ada pilihan untuk mereka. Kerajaan perlu turut memberi perhatian kepada mereka. (Bersambung)
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 3/9/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4635927719759522/




















