Tiada keperluan batal projek PR1MA – Shahidan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang mengalami kelewatan akan diambil tindakan segera.

Menurut Pengerusi Perbadanan PRIMA Malaysia, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim pihaknya sedaya upaya memudah cara dan mencari jalan keluar kepada kontraktor terbabit.

“Kita nak cepat tetapi kontraktor tidak boleh buat cepat. Kita sudah lantik kontraktor. Kalau kita nak buang dia, tidak boleh buang macam tu je, kena ikut proses undang-undang.

- Advertisement -

“Jadi bila kontraktor lambat kita akan ambil tindakan segera, lebih memudah cara. Sekiranya terdapat kekurangan pekerja kita cuba cari jalan supaya dia dapat pekerja.

“Bayaran tidak ada masalah dalam masa sama tiap-tiap minggu mereka boleh buat klaim dekat PR1MA dan PR1MA bayar terus,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama media di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini malam tadi.

Tambahnya, tiada keperluan untuk membatalkan projek itu memandangkan ia berdaya maju dan boleh dijual dengan cepat.

“PR1MA tidak perlu ditutup seperti yang diwar-warkan kerana membina rumah di tempat tidak strategik dan sebagainya.

“Mungkin ada dua kes yang kawasannya tidak berapa strategik tapi dia tidak melibatkan keseluruhan daripada PR1MA. Contohnya di Brickfields, saya percaya dalam masa seminggu jualan sudah memenuhi matlamat sebab di situ permintaannya tinggi,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, sehingga Mac lalu sebanyak 23,101 unit telah berjaya disiapkan dengan lebih 50 peratus daripadanya terjual. – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -