Sidang Khas Parlimen: Rakyat tunggu 26 Julai ini

- Advertisement -

SETELAH begitu lama desakan dibuat akhirnya parlimen akan dibuka semula. Sidang khas Dewan Rakyat diadakan bermula 26 Julai ini. Ia berlangsung selama lima hari.

Manakala sidang Dewan Negara pula diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos. Kerajaan sedia maklum tanggungjawab itu. Sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen perkara itu sudah menjadi rutin.

Setiap tahun tiga kali persidangan parlimen diadakan. Namun kali ini rutin itu tidak dapat dilaksanakan kerana proklamasi darurat. Ia bukan disengajakan, kata kerajaan.

Jauh sekali hendak berpolitik mengenainya. Ia berlaku kerana asbab. Darurat dilaksanakan mulai 11 Januari lepas. Darurat diisytihar kerana pandemik Covid-19. Wabak Covid-19 bukan kes biasa. Kematian melebihi 6,503 kes sehingga semalam.

Malah pesakit yang berada di ICU pula 878 orang. Jumlah keseluruhan kes dalam tempoh itu 867,657. Maknanya kes jangkitan hampir satu juta.

- Advertisement -

Mengambil kira suasana itu jelas pandemik sekarang perkara besar. Bukan isu main-main. Biarpun begitu masih ada dakwaan kononnya kerajaan cuba berlindung di sebalik darurat bagi mengekalkan kuasa.

Benarkah begitu. Pembangkang menjaja alasan tersebut sejak awal darurat diisytiharkan. Namun nada serupa juga disambut parti Melayu lain. Mereka seperti memperlecehkan data-data pandemik yang dibentang setiap hari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Lebih mengaibkan lagi seorang pemimpin veteran parti itu menyifatkan persidangan parlimen khas lima hari tidak memadai. Kata orang kampung beri betis nak paha.

Sejak awal lagi sarjana dan pemerhati politik boleh membuat tanggapan mudah tujuan pembangkang mendesak parlimen diadakan.

Biarpun aku janji awal hanya mahu membahas isu rakyat dan Covid-19, namun menjelang detik persidangan parlimen, muncul macam-macam ragam.

Muncul pula apa yang diistilah sebagai perdana menteri interim. Ada sarjana menyebut Yang di-Pertuan Agong berkuasa melantik jemaah menteri interim di bawah Perkara 43(2)(b) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

Maka lahir pula nujum Pak Belalang teki teki tarikh PRU ke-15. Ada yang meramalkan pada Oktober 2021, Februari atau April 2022.

Ternyata pembangkang mahu merebut peluang detik persidangan khas parlimen kali ini. Bukan lagi sekadar membahas langkah-langkah menangani pandemik Covid-19.
Biarpun ramai boleh menjangka apa yang berlaku 26 Julai ini, namun keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih utuh.

Usul tidak percaya

Lebih-lebih lagi usul undi tidak percaya dikatakan tidak dibenarkan. Kata Yang Dipertua Dewan Negara Dr Rais Yatim, beliau difahamkan usul undi tidak percaya tidak ada dalam lunas peraturan pada persidangan itu.

Seperti dilapor akhbar Dr Rais berkata, semua usul perlu datang anggota kabinet.

Maknanya impian usul menolak kerajaan PN dan Muhyiddin Yassin nampaknya seperti tidak berlaku. Ia tidak mengulangi apa yang berlaku di Perak tahun lepas.

Biarpun Umno menarik semula sokongan terhadap Muhyiddin, namun penegasan itu seperti tidak bulat. Masih ramai ahli parlimen Umno yang sedia mempertahankan kerajaan yang ada sekarang.

Dan semalam pula semua anggota kabinet menyokong kepemimpinan Muhyiddin. Ia termasuk juga dari Umno. Di sebaliknya impian Umno mufarakah terhadap Muhyiddin, ada teori lain pula muncul.

Ada kemungkinan Parti Pejuang Tanah Air dipimpin Dr Mahathir Mohamad boleh jadi ‘king maker’ dalam situasi sekarang.

Pejuang memiliki empat ahli parlimen (MP). MP Pejuang iaitu Dr Mahathir (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Dr Sharuddin Mat Salleh (Seri Gading).

Manakala Dr Maslee Malik (Simpang Renggam) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) berada di blok bebas. Biarpun pada peringkat awal mereka juga proksi Dr Mahathir, namun akhirnya membawa diri.

Warisan yang mempunyai lapan MP juga tidak boleh dikesampingkan. Sekiranya Warisan dan Pejuang mengambil kira penularan pandemik yang menakutkan sekarang, tentunya impian PH sukar menjadi kenyataan.

Shafei Apdal mempunyai pengalaman berdepan penularan wabak di Sabah tahun lepas. Pandemik itu membiak cepat selepas berlangsung pilihan raya negeri.

Nampaknya sidang parlimen kali ini, impian pembangkang masih tertangguh.
Malah Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah turut mengalu-alukan persidangan parlimen diadakan.

“Saya mengalu-alukan pengumuman perdana menteri Parlimen akan bersidang hujung bulan ini. Ia memberi peluang ahli-ahli Parlimen berbahas langkah-langkah menangani Covid-19.

“Semoga lahir idea-idea segar yang dapat menambah baik langkah-langkah tersebut,” katanya.
Sidang khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara.

Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan berdasar Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong akan dibentang.

Rakyat cemas menunggu detik persidangan tersebut. Mereka menanti hujah pembangkang yang kerap mendakwa kerajaan gagal. Apa solusi mereka untuk keluar dari wabak.

Rakyat sudah muak dengan retorik. Lebih malang lagi ketika rakyat bergelut dengan pandemik, ada pemimpin masih mengimpi cita-cita besar. – HARAKAHDAILY 15/7/2021

- Advertisement -