
PAS Kawasan Labuan meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memastikan pengambilan 18,000 guru baharu dinilai mengikut keutamaan, kualiti dan menepati kriteria sebenar.
PAS Labuan menyambut baik langkah KPM untuk merekrut 18,000 guru-guru baru secara ‘one – Off’. Namun PAS Labuan melihat pelaksanaanya perlu mengambil kira beberapa kriteria tertentu bagi memastikan kesinambungan kualiti serta impak kepada masa depan para pelajar dan pendidikan negara.
1. KPM mesti mengambil kira data sebenar graduan Pendidikan yang belum dapat lantikan dan penempatan diguna secara telus dalam memastikan guru guru dukalara (Suami isteri yang terpisah jauh) dilihat secara khusus serta diurus kelulusan penempatan terlebih dahulu sebelum penempatan pengambilan baharu. Seandainya masih ada baki keperluan bolehlah ditampung melalui pengambilan dan penempatan guru baharu tersebut. Ketidaktepatan opsyen mesti diatasi dengan keutamaan diberikan kepada graduan sedia ada dengan program atau kursus KPLI serta prosedur selayaknya untuk menjadi pendidik.
2. Pelantikan dan penempatan guru mesti mengikut lokaliti atau asal negeri atau daerah asal (terdekat dalam negeri) supaya untuk jangka panjang mampu mengatasi kekurangan berulang. Pelantikan dan penempatan dari luar yang membawa kes dukalara, masalah keluarga dan sebagainya yang terpaksa diluluskan dengan tempoh perkhidmatan hanya 1-2 tahun setelah mereka merayu mesti dielakkan. Fenomena ini juga akan memberi kesan kepada kenaikkan perbelanjaan kerajaan atas sebab yang sepatutnya boleh dielakkan dari awal dan kesinambungan pembelajaran murid yang ditinggalkan akan terganggu kerana berlaku lompang transisi guru pindah dan proses mendapatkan bekalan guru pengganti.
3. Labuan, seperti juga Sabah dan Sarawak, mengalami kekurangan guru mengikut opsyen dan bekalan yang tidak tepat berdasarkan unjuran keperluan mengikut sekolah, bilangan kelas, bilangan guru dan nisbah murid.
4. Graduan Pendidikan yang telah lama berstatus penganggur tidak dilantik dan tidak diberi penempatan terpaksa mencari kerja sementara untuk ‘survive’, memohon kerja dengan kerajaan dan swasta namun dengan memiliki Ijazah Pendidikan dijadikan alasan permohonan mereka ditolak kerana majikan beranggapan mereka ini tidak akan kekal dan dianggap sebagai mencari peluang sebelum dilantik jadi guru sebenar. Namun sekian lama mereka menunggu tetap juga tidak diserap ke perjawatan sebenar, maka berlakulah pembaziran dari perancangan yang tidak ada kesinambungan. PAS difahamkan ada sejumlah golongan seperti ini telah terabai sekian lama.
5. Isu pengambilan Guru interim (fresh) yang mengambil tempat graduan Pendidikan sedia ada adalah tidak relevan dan tidak adil. Kos latihan mereka semasa cuti dan bimbingan dalaman semasa ditempatkan di sekolah sekolah akan menambah beban guru senior dan kewangan kerajaan jika dibandingkan graduan Pendidikan yang telah belajar kaedah mengajar, Psikologi Pendidikan, Pedagogi dan pelbagai ilmu keguruan. Ini berkait rapat dengan roh keguruan yang membawa komitmen mendalam dalam urusan mendidik serta kualiti masa depan pendidikan Negara.
6. Pembekal graduan Pendidikan IPGM dan Universiti perlu seimbang bilangan pengambilan dengan prospek keperluan apabila mereka tamat belajar. Kursus Keguruan mengikut opsyen akademik dan kemahiran mesti mengikut acuan pelan kebolehpasaran yang tepat atau tidak jauh lari dari angka yang diperlukan mengikut peringkat Sekolah, Kolej, Universiti dan Institusi.
7. Meneliti iklan SPP (MySPP), seolah-olah Labuan tiada kekosongan untuk dipohon. Ini bertentangan dengan realiti sebenar di mana jumlah keperluan guru di Labuan adalah sekitar 70 kekosongan. PAS Labuan rasa terkilan juga, bila pihak KPM dan SPP tidak memasukkan Labuan dalam iklan tersebut, yang akhirnya nanti akan menyisihkan peluang anak-anak tempatan untuk mendapat peluang ini. PAS Labuan sangat berharap semoga tiada agenda tersembunyi untuk ‘reserve’ kepada pihak yang ada kepentingan. PAS Labuan menggesa biarlah ada agihan keadilan dan saksama, andai benar pengurusan pengambilan ini ingin dilihat telus.
PAS Labuan berharap usaha KPM untuk menyelesaikan kekurangan guru di seluruh Negara amnya dan Labuan khususnya akan menepati keperluan sebenar dan tidak dipandang sebagai satu kelemahan yang akan menambah satu lagi lapisan kepada longgokkan permasalahan lama yang akan berulang-ulang sehingga kini.
HAMIR ZAHARI
Yang Dipertua PAS Kawasan Labuan – HARAKAHDAILY 15/7/2021











