Nilai pendidikan awal asas dalam pembinaan hidup

- Advertisement -

MENTALITI masyarakat hari ini mengukur tahap pendidikan kanak-kanak itu pada aspek kemampuannya dalam membaca dan menulis. Kebolehan mengeja, menghafal malah pencapaian gred tertinggi dalam peperiksaan di sekolah itu merupakan simbolik kecemerlangan. Hanya itu. 

- Advertisement -

Lalu yang diraikan dan yang dinilai keberjayaan itu hanyalah individu yang cenderung kepada kecerdasan bersifat IQ. Walhal menurut Hodward Gardner kecemerlangan terbahagi kepada 9 dimensi meliputi:

1. Linguistik
2. Logikal Matematik.
3. Visual Ruang.
4. Badan Kinestatik.
5. Muzik.
6. Interpersonal.
7. Intrapersonal.
8. Naturalis.
9. Spiritual Eksistensial 

Maka, setiap manusia mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri. Bahkan menjadi tugas kita selaku ibu bapa, guru, malah pendidik mencungkil bakat anak-anak dan menghargai nilai tersebut.

Segi tiga

Dunia perkembangan kanak-kanak boleh digambarkan melalui perumpamaan rajah segi tiga. Setiap elemen yang menyokong perkembangan mereka terdiri daripada tiga sisi iaitu :

1. Fizikal.
2. Sosial atau emosi.
3. Kognitif.

Apabila salah satu sisi bahagian ini tidak stabil, maka segi tiga akan menjadi senget. Kesemua aspek ini dipengaruhi secara semulajadi (nature) atau secara didikan (nurture) ibu bapa. Sepertimana kita mementingkan segi kognitif, maka sudut perkembangan yang lain juga perlu dititikberatkan.

Pendidikan sosial emosi

Antara permasalahan dunia hari ini adalah disebabkan kelompongan pada didikan emosi dari awal. Kurang empati, sukar bertolak ansur, zalim, mementingkan diri sendiri malah ‘double standard’ menjadi sindrom yang kian membiak.

Harus diakui, kita terlalu mementingkan aspek IQ hingga terlupa kadar nilai EQ. Malah memupuk kecerdasan emosi (EQ) amat penting kerana kecerdasan emosi menjadi asas pemikiran dan tingkah laku pro sosial individu dari kecil sehingga dewasa.

Anak-anak yang telah dididik kemahiran sosial dan emosinya sejak awal mampu membentuk individu yang prihatin, bertimbang rasa, peduli, bekerjasama, mengawal diri, tidak memaki hamun dan pelbagai lagi masalah sosial yang lain.

Justeru, kata-kata dan tindakan pendidik seharusnya menjadi galakan agar anak dapat membina kepercayaan diri (self esteem) lantas meningkatkan perkembangan emosi yang sihat. Pujilah pada usaha anak-anak walaupun remeh. Berilah mereka kata-kata positif saat diperlukan. Perkembangan emosi yang stabil dan sihat ini mampu menghasilkan sifat rahmah kendiri.

Rahmah kendiri

Rahmah kendiri atau istilah ‘self compassion’ ialah perasaan belas kasihan terhadap diri sendiri dan melayan diri seperti kawan baik. Ia adalah elemen asas dalam menghargai diri sendiri. Meskipun ada kalanya ditempa kegagalan, ada waktunya dirundung kesedihan atau ada masanya dibelenggu tekanan, ia boleh memberi laluan peluang kepada diri sendiri untuk menjadi lebih baik.

Menunjukkan perasaan kasih sayang dan menghargai usaha kanak-kanak merupakan langkah awal bagi membentuk rahmah kendiri. Hal ini menjadikan mereka rasa disayangi dan mempunyai makna dalam hidup.

Musim pandemik. Telitilah aspek pendidikan kanak-kanak dalam semua segi. Mereka juga adalah mangsa kepada sistem dunia hari ini. Caknalah.

NAJWA ZAKARIA – HARAKAHDAILY 8/7/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100002026942907/posts/4077344509009740/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -