Kit Siang patut belajar daripada insiden Ahok

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH:
Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaludin berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sepatutnya belajar daripada apa yang berlaku ke atas Ahok di Indonesia.

Menurutnya, Ahok yang merupakan mantan Gabenor Jakarta itu akhirnya meringkuk di penjara kerana penghinaan kepada agama Islam.

- Advertisement -

“Seperti Ahok, Kit Siang telah melanggar masuk ke sempadan yang bukan ranah beliau. Membuat tafsiran sendiri hingga melukai hati umat Islam. Kesalahan ini sangat ‘fatal’.

“Sebagai seorang ahli politik yang sangat senior, sepatutnya (Kit Siang) lebih faham akan tatasusila dalam beragama dan menghormati agama lain,” ujar beliau kesal.

Bakri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu menambah, komentar yang dibuat oleh Kit Siang mengenai ‘Kerajaan Allah’ sebagai mengulas artikel yang ditulis oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah biadab dan tidak menghormati perasaan dan sensitiviti umat Islam.

“Apakah memang menjadi budaya mereka buat tafsiran sendiri yang terang-terang salah, mengelirukan dan bersifat menghina, kemudian padam dan minta maaf?

“Kalau kita teliti ini bukan kali pertama berlakunya hal sebegini dan sudah berulang kali kejadian seumpama ini dan minta maaf. Apakah semudah itu?” soalnya lagi.

Menurut Bakri sebagai umat Islam memang boleh memaafkan tetapi apabila kesalahan yang sama diulang-ulang walaupun oleh orang yang berbeza,

“Sepatutnya Kit Siang merujuk dulu kepada agamawan yang berada di dalam PH sebelum membuat apa-apa komentar kepada perkara yang beliau jahil terhadapnya,” ujarnya lagi ketika dihubungi Harakahdaily.

Bakri juga turut bersependapat dengan umat Islam yang lain bahawa tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil dan dilaksanakan ke atas Kit Siang kerana perbuatannya itu keterlaluan.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Aziah Mohd Saad pula berkata, Lim Kit Siang telah menunjukkan dirinya menjadi musuh Islam yang mencela dan menghina agama Islam.

Tambahnya, kebiadaban dan keceluparan Penasihat DAP itu terhadap agama Islam telah melampaui batas.

“Lim Kit Siang tidak menghormati hak beragama dan mencela agama Islam sebagai Agama Persekutuan Negara Malaysia.

“Sebelum ini, kita belum pernah membaca tulisan orang Islam menghina atau mencela pegangan agama yang dianuti oleh pemimpin DAP ini.

“Oleh itu orang yang mengaku beragama Islam wajib menolak pimpinan DAP dalam PRU15 kerana pemimpin DAP telah berani menghina dan mencela agama Islam ketika mana mereka tiada kuasa atau sebagai pembangkang,” ujar beliau lagi.

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah menambah, ucapan maaf yang dikeluarkan oleh Kit Siang menjadi amalannya semudah meludah di merata tempat.

“Ambillah iktibar 22 bulan pemerintahan PH yang telah banyak membuat kerosakan dalam negara Malaysia yang kita cintai,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 8/7/2021

- Advertisement -