Biadab: Gagal urus emosi, Kit Siang perlu undur

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH:
Sudah sampai masa Penasihat DAP, Lim Kit Siang berundur dari dunia politik kerana kenyataannya kali ini sudah menggambarkan kemuncak kegagalan menguruskan emosinya yang tidak stabil.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek berkata, PAS negeri menzahirkan rasa terkejut dan marah dengan kenyataan biadab dan keterlaluan Kit Siang baru-baru ini berhubung isu ‘Kerajaan Allah’ dalam menguruskan Covid-19.

- Advertisement -

“Kenyataan yang dibuat Kit Siang dalam satu hantaran di media sosial miliknya itu betul-betul menyentuh perasaan umat Islam di negeri dan negara ini, lebih-lebih lagi kepada orang Melayu dan Raja-Raja Melayu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Penasihat Agama Kepada Ketua Menteri Melaka itu berkata, permusuhan dalam politik ada batasannya yang perlu dijaga dan dihormati.

Menurutnya, isu perkauman dan agama amat sensitif bagi semua orang juga di sisi undang-undang.

“Saya tidak nampak isu ini sebagai kes terlepas pandang atau kecuaian biasa daripada pihak pemimpin kanan DAP tersebut. Justeru, saya mengharapkan pihak berkuasa dapat bertindak tegas terhadap beliau.

“Sekali lagi saya tegaskan di sini bahawa PAS Melaka teramat dukacita di atas kenyataan Penasihat DAP tersebut dan menuntut beliau memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam dan Raja-Raja Melayu,” ujarnya sambil menggesa agar siasatan terperinci ke atas Kit Siang perlu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Setiausaha PAS negeri, Asri Shaik Abdul Aziz ketika dihubungi Harakahdaily turut mengecam sekeras-kerasnya kebiadaban Kit Siang yang menghina kesucian agama Islam melalui hantaran itu.

“Saya menyeru semua pihak terutamanya orang Melayu Islam agar dapat mengenali musuh Islam yang sebenarnya sehingga mereka berani mempersendakan nama Allah SWT.

“Sikap biadab Lim Kit Siang ketika memberikan respons segera kepada tulisan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melalui laman Facebooknya menzahirkan kebencian beliau terhadap agama Allah SWT iaitu Islam,” ujar beliau.

Asri yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah turut mengharapkan pihak berwajib segera mengambil tindakan terhadap mereka yang mempersendakan Allah SWT.

“Saya serahkan tindakan dan hukuman yang digariskan dalam undang-undang negara atas penghinaan ke atas Allah SWT dan Islam.

“Dan ia juga boleh menggugat keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama sebab ini adalah satu penghinaan terhadap agama Islam, agama rasmi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -