
KUALA LUMPUR: Malaysia antara negara pertama di dunia memperkenalkan moratorium untuk semua kategori B40, M40 dan T20 selama enam bulan tahun lepas.
Moratorium pertama itu bermula 1 April hingga 30 September 2020. Dan baru-baru ini sekali lagi kerajaan mengumumkan moratorium bagi semua peminjam individu dan usahawa mikro untuk tempoh enam bulan.
Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, pada pakej PEMULIH kerajaan melaksanakan moratorium kali kedua untuk semua kategori peminjam B40, M40 dan T20.
Katanya, ketika situasi pandemik sekarang bank perlu berkorban sedikit keuntungan dengan membuat pengecualian untuk semua manfaat bagi melaksanakan moratorium.

“Kerajaan juga boleh memilih memberi pengecualian kepada semua faedah pakej moratorium untuk meringankan beban rakyat,” katanya di sini.
Sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan lapan pakej rangsangan ekonomi membabitkan RM83 bilion suntikan fiskal.
Lapan pakej rangsangan ekonomi tersebut iaitu Pakej Prihatin bernilai RM250 bilion, Pakej Prihatin PKS (RM10 bilion), Penjana (RM35 bilion) dan Kita Prihatin (RM10 bilion).
Manakala pakej yang diperkenalkan tahun ini iaitu Permai (RM15 bilion), Pemerkasa (RM20 bilion), Pemerkasa Tambahan (RM40 bilion) dan PEMULIH (RM150 bilion).
Menurut Menteri Kewangan Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tahun lepas suntikan fiskal melibatkan RM38 bilion dan tahun ini RM45 bilion.
Dr Anuar Shah Bali berkata, kesan dan impak pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi tersebut menampakkan hasil sebelum berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Katanya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia mengukuh pada Mac 2021 dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 6.0 peratus jika dibanding pada Oktober 2020 (-4.7 peratus) dan 2020 (-5.6 peratus).
Menurutnya juga pakej rangsangan ekonomi berjaya mengurangkan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.6 peratus (April 2021).
“Manakala bagi Program Subsidi Upah (PSU) 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja sudah menerima manfaat di bawah Prihatin dan Penjana,” kata beliau.
Manakala bagi PSU 2.0 hampir sebanyak RM1.168 bilion sudah disalurkan kepada 73,567 majikan untuk manfaat 635,748 pekerja.
Selain itu eksport Malaysia pula mencatatkan nilai bulanan lebih RM95.7 bilion pada Disember 2020, meningkat 10.8 peratus berbanding Disember 2019.
Beliau juga berkata, kerajaan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan secara berterusan termasuk pemberian Geran Khas Prihatin (GKP).
Kata beliau secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM5.1 bilion melalui inisiatif GKP.
Pencapaian itu juga dapat dilihat apabila Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yakin negara akan mencapai 500,000 peluang pekerjaan baru tahun ini.
Menurut Pengarah Eksekutif MEF Dato’ Shamsuddin Bardan, di bawah inisiatif Majlis Pekerjaan Negara pada setengah pertama tahun ini, lebih 240,000 pekerja baru diwujudkan. – HARAKAHDAILY 15/7/2021




















