Komitmen tinggi Kelantan jaga alam sekitar 

Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Cadangan Kelantan membuat pengubahan Rancangan Pemajuan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dianggap tidak menjejaskan polisi kerajaan Persekutuan bagi mengekalkan kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, cadangan pengubahan itu tidak akan menjejaskan dasar Kerajaan Persekutuan bagi  mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia.

- Advertisement -

Menurut beliau, Kelantan pada ketika ini masih mengekalkan keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas 629,880.95 hektar.

“Malah, Kelantan mempunyai komitmen tinggi menjaga kepentingan alam sekitar dan biodiversiti di negara ini.

“Kerajaan negeri masih mengekalkan keluasan HSK seluas 629,880.95 dan hanya mengeluarkannya daripada kawasan yang ditakrifkan KSAS iaitu 514,898.73 hektar.

“Pengekalan KSAS turut melibatkan kawasan punca tadahan air seluas 114,982.22 hektar,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu Kerajaan Persekutuan akan mengemuka bantahan kepada Kelantan berhubung keputusan mengenai pengubahan kawasan HSK kecuali kawasan tadahan air.

Susulan itu, katanya, kementerian bercadang menghentikan pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti kepada Kelantan, sekiranya cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar diteruskan.

Sementara tambah Mohamed Fadzli, cadangan berkenaan juga tidak akan menjejaskan keluasan Taman Negara Kelantan kerana sudah diwartakan pada 1938.

“Kerajaan negeri turut mengambil kira Hutan Taman Hidupan Liar yang berada di luar HSK seluas 80,377 hektar dan Hutan Tanah Kerajaan seluas 57,071.55 hektar bagi memastikan 50 peratus keluasan tanah berhutan tercapai.

“Ia merupakan antara tiga negeri tertinggi memiliki tanah berhutan di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Menurutnya juga kawasan hutan terbabit yang mempunyai mineral boleh dimanfaatkan kerajaan negeri sebagai sumber hasil. 

Bagaimanapun kata beliau cadangan pengubahan itu masih di peringkat Program Publisiti dan Pengubahan Awam mengikut Seksyen 11B dan Seksyen 13 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

“Kita akan menilai cadangan dan bantahan orang awam dalam Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran (JKSTP) sebelum melalui proses seterusnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -