
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menziarahi Adik Bella semalam, dalam perjalanan pulang dari Johor.
Beliau bertanya khabar kepada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pegawai Kesihatan yang menjaga Bella.
“Bella nampak sihat dan ceria di sana,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Faceook beliau malam tadi.
Menurutnya, Adik Bella adalah anak yang pemalu dan sangat lemah lembut.
Dia suka memeluk penjaga yang dipanggil dengan gelaran ‘emak’.
“Melihat sendiri kesan luka lama dan baharu membuatkan hati saya sangat sakit dan remuk,” ujarnya yang turut disertai Pengasas Sahabat Amal Care, Ustazah Asmak Harun.
Tambahnya, sebelum tiba di situ, beliau telah berhubung dengan ACP Puan Siti Kamsiah, D11 PDRM yang mengurus kes itu secara langsung dan bertanyakan perkembangan terkini siasatan kes melibatkan Adik Bella.
Siti Zailah juga menyatakan keyakinan penuh terhadap komitmen pihak PDRM dan badan keadilan.
Menurutnya lagi, Asmak menyatakan komitmen membantu JKM dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan menggunakan dana NGO mereka sendiri.
Kelmarin, polis mengesahkan kertas siasatan kes Bella yang dipercayai didera dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi penelitian pihak pendakwaan.
Media melaporkan kanak-kanak itu diselamatkan dari sebuah rumah penjagaan di Jalan Kukuban di Taman Setapak, Kuala Lumpur yang turut dikenakan sita melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.
Kisah menyayat hati itu mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib Bella. – HARAKAHDAILY 15/7/2021




















