
BENTONG: Membebaskan para peneroka FELDA dan pewaris mereka daripada belenggu hutang merupakan antara fokus dan agenda perjuangan Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI).
Pengerusi GENERASI, Ustaz Roslan Mad Esa bagaimanapun mengakui wujud kalangan peneroka yang teragak-agak untuk menandatangani perjanjian kerana mendakwa terma disediakan tidak adil kepada mereka.
“Mari kita tengok dari sudut positifnya. Selama ini kita telah memperjuangkan agar hutang-hutang tidak munasabah ini dinilai semula dan dihapuskan.
“Bila kerajaan umumkan untuk hapuskan hutang peneroka ini, kita perlu sambut baik walaupun ada pihak mendakwa perjanjian ini berat sebelah atau ada udang sembunyi balik batu. Itu semua adalah andaian dan sangka-sangka belaka,” ujar beliau.
Sewajarnya kata Roslan, tidak timbul masalah besar untuk menandatangani perjanjian ini kerana ia bersifat pilihan, bahkan tidak ada paksaan bagi mana-mana peneroka sama ada mahu menandatangani atau tidak.
“Mana-mana peneroka yang mahu hutangnya dihapuskan, maka dia turunkanlah tandatangan dan bagi peneroka yang merasa ragu-ragu, tak perlu tandatangan sebaliknya perlulah menguruskan hutang tersebut,” ulas beliau.
Kerajaan secara dasarnya bersetuju dengan cadangan pihak FELDA untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion dan ia akan dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat.
Melalui pengumuman yang diisytiharkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Peneroka Kebangsaan pada 7 Julai lalu, inisiatif ini bakal mengurangkan bebanan pinjaman sebanyak purata 80 peratus ditanggung setiap peneroka.
“Logiknya, bila FELDA dah bantu kita lunaskan hutang, kita juallah hasilnya kepada FELDA, bayaran yang kita dapat pun lebih kurang hampir sama dengan tempat lain juga.
“FELDA juga mahu kita mengurus ladang mengikut piawaian pertanian baik, bukankah itu satu pendekatan yang baik untuk dipraktikkan oleh peneroka?
“Apapun terpulanglah pada peneroka, cuma ingin saya jelaskan sekali lagi, tiada paksaan untuk tandatangan. Ia adalah ‘optional‘ dan peneroka boleh ‘nego‘ dengan pihak pengurusan FELDA agar akhirnya nanti peneroka dan FELDA berada dalam situasi ‘menang-menang,” jelasnya lagi.
Roslan berkata demikian ketika mengulas beberapa kenyataan yang tular di media sosial kononnya mewakili suara peneroka mendakwa syarat-syarat dan terma termaktub di dalam surat perjanjian lupus hutang adalah berat sebelah.
“Percayalah, ‘tak berudang di balik batu, tak berorang di balik aku’, FELDA telus ingin membantu peneroka,” ujar anak peneroka FELDA Jengka ini.
Walau bagaimanapun katanya, pihak GENERASI akan memohon pelanjutan tempoh menandatangi surat perjanjian daripada FELDA agar peneroka dan waris diberi lebih masa untuk berbincang dengan teliti.
Apatah lagi menurutnya, memandangkan situasi semasa COVID-19 agak menyukarkan pergerakan. – HARAKAHDAILY 15/7/2021




















