
KUALA LUMPUR: Satu kajian baharu mengenai pencegahan mRNA yang dilakukan di Amerika Syarikat telah menunjukkan bahawa individu yang dijangkiti Covid-19 selepas divaksin cenderung mempunyai viral load atau kuantiti virus yang lebih rendah, mengalami jangkitan penyakit yang lebih singkat, serta mempunyai gejala yang lebih ringan berbanding individu yang tidak divaksin.
Penulis kajian yang juga profesor di University of Arizona Health Sciences di Amerika Syarikat, Jeff Burgess berkata, bagi individu yang mendapat vaksin, terdapat kemungkinan sebanyak 90 peratus bahawa mereka tidak akan dijangkiti.
Walaupun dijangkiti, virus dalam tubuh individu yang divaksin adalah kurang dan gejala yang berlaku kemungkinannya lebih ringan, katanya.
Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine pada 30 Jun, menggunakan data terhad daripada dua vaksin Covid-19 yang dikembangkan menggunakan teknologi mRNA, Pfizer dan Moderna.
Vaksin mRNA menggunakan molekul yang disebut messenger RNA (atau mRNA), dan bukannya patogen sebenar untuk melatih sistem imun untuk melawan jangkitan, lapor agensi berita PTI.
Para penyelidik menganalisis keberkesanan vaksin RNA (mRNA) dua dos – Pfizer-BioNTech (BNT162b2) dan Moderna (mRNA-1273) dalam mencegah jangkitan Covid-19 dan mengurangkan penyakit apabila diberikan dalam keadaan semasa.
Para penyelidik juga menyatakan bahawa walaupun vaksin Covid-19 terbukti sangat efektif dalam mencegah jangkitan, tidak ada vaksin yang 100 peratus efektif, dan jangkitan yang menular selepas imunisasi, masih berlaku.
Seramai 3,975 kakitangan penjagaan kesihatan, responden pertama, dan pekerja penting dan barisan hadapan lain di AS terlibat dalam kajian ini.
Dari 14 Disember 2020, hingga 10 April 2021, para peserta telah menjalani ujian SARS-CoV-2 mingguan (virus yang menyebabkan penyakit Covid-19) dengan menyediakan nasal swabs untuk analisis RT-PCR secara kualitatif dan kuantitatif iaitu piawaian emas untuk ujian untuk Covid-19.
Kajian menunjukkan bahawa sementara Covid-19 dikesan pada 204 peserta, lima dari mereka diberi vaksin sepenuhnya, 11 daripadanya sebahagiannya divaksinasi dan 156 orang tidak divaksinasi.
Ia juga menunjukkan bahawa dua dos vaksin mRNA Covid-19 adalah 91 peratus berkesan terhadap (mengurangkan kesan) jangkitan, sementara satu dos pula terbukti mengurangkan kesan jangkitan hingga 81 peratus. – HARAKAHDAILY 15/7/2021




















