Kerajaan PN masih sah ikut Perlembagaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih sah mengikut undang-undang dan Perlembagaan. Malah pada masa yang sama saf kepimpinannya masih menerajui negara seperti biasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu telah disahkan Peguam Negara baru-baru ini bahawa penentuan sebuah kerajaan adalah melalui ahli Dewan Rakyat.

- Advertisement -

“Setakat hari ini, kita dimaklumkan tiada seorang pun ahli Parlimen yang menarik diri daripada menyokong kerajaan.

“Selain itu kita (PAS) juga tiada masalah dalam mempertahankan kedudukan kerajaan kerana janji parti ini adalah jelas sebagaimana kenyataan Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahan PN.

“Kerajaan Perikatan Nasional dibina bersama parti-parti yang menyokong, bukan hanya satu parti tetapi lebih 10 parti,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Bakul Makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Kampung Tanjung Chat, di sini, hari ini..

Sebelum ini media melaporkan, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno 8 Julai memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut pandangan segelintir pihak mendakwa kerajaan gagal menguruskan negara dalam pandemik Covid-19, Takiyuddin menegaskan kerajaan hari ini bukan kepimpinan yang gagal.

“Bagi saya, kerajaan gagal adalah pada asalnya menjadi kerajaan dan sekarang bukan lagi kerajaan, itulah yang gagal. Orang yang tak jadi kerajaan kemudian jadi kerajaan, itu kerajaan berjaya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab tuduhan pihak tertentu yang mendakwa kerajaan hari ini gagal dalam menangani isu Covid-19 berikutan kes harian melonjak di beberapa negeri khasnya Selangor. – HARAKAHDAILY 10/7/2021

- Advertisement -