
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU: Kerajaan mengambil tindakan segera pemberian vaksin khususnya kepada sektor pekerja industri dengan membuka tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri di Terengganu.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, sekarang ini terdapat tiga PPV Industri (PPVIN) di negeri ini.
Menurut beliau, satu PPVIN Eastern Steel berkaitan dengan sektor insdustri besi, di Teluk Kalong, Kemaman yang perlu disegerakan pembukaannya.
Manakala, katanya di PDJT ini merupakan salah satu PPV yang khusus kepada pekerja-pekerja ‘offshore’ pelantar carigali minyak.
“Di Terengganu ada tiga PPVIN di bawah skim Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) iaitu, pertama Pulau Duyung Jetty Terminal anggaran untuk 5,500 vaccinee.
“Kedua, Eastern Steel di Teluk Kalung, Kemaman (1,380 vaccinee) dan ketiga, Kerteh Integrated Petrochemical Complex (KIPC) TATI, yang akan beroperasi mulai 12 Julai ini dengan anggaran untuk 4,800 vaccinee,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Harakah selepas lawatan ke program PPV Industri (PPVIN) di Pulau Duyung Jetty Terminal (PDJT), Kuala Terengganu, hari ini.
Menurutnya, sektor Industri Oil & Gas merupakan salah satu sektor yang sangat penting di negara ini bagi diberi perlindungan.
“Ini kerana ianya (Oil & Gas) menjadi penyumbang kepada ekonomi yang penting di dalam negara kita, yang perlu berterusan dari segi operasinya.
“Maka, kerana itu kerajaan meluluskan PPV Industri (PPVIN) ini. Jadi untuk tujuan PPV PIKAS di Pulau Duyung Jetty Terminal ini, melibatkan sasaran 6,000 pekerja sektor industri dengan kapasiti harian dalam lingkungan 300 (suntikan) setiap hari, di sini,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut berpuas hati dengan pengoperasian PPVIN yang mencapai ‘standard’ pelaksanaanya.
“Saya berpuas hati dengan kunjungan mengejut saya untuk meninjau perjalanan (PPVIN) di sini. Saya dapati semuanya mencapai standard yang kita harapkan. Ruang yang selesa dan sebagainya.
“Saya harap dengan segera kita dapat selesai perlindungan kepada pekerja-pekerja yang terlibat dalam sektor industri minyak dan gas, Insya’Allah,” jelasnya.
Menurutnya, sasaran vaksinasi di peringkat nasional untuk meningkatkan kapasiti hingga 400,000 suntikan harian bagi bulan Julai ini. – HARAKAHDAILY 10/7/2021











