Tindakan tegas ladang ayam gagal patuhi peraturan

- Advertisement -

TAIPING: Kerajaan negeri memberi amaran untuk menutup ladang ternakan ayam di Sungai Limau Trong sekiranya didapati masih gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Perladangan dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria berkata tindakan diambil susulan aduan kacau ganggu lalat dan bau dikatakan berpunca daripada aktiviti tersebut.

Katanya sebuah jawatankuasa teknikal diwujudkan pada masyuarat kali pertama yang melibatkan semua agensi dalam pelaksanaan penguatkuasaan ke atas ladang penternakan itu.

- Advertisement -

“Jadi kalau pihak terbabit tak mahu mengikuti (peraturan ditetapkan) kita terpaksa ambil tindakan penutupan,” katanya selepas melakukan tinjauan ke ladang ternakan tersebut bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi lain semalam.

Rombongan Exco kemudian melawat sebuah lagi ladang di Sungai Hantu di mana ladang tersebut mengusahakan ternakan itik. Tinjauan mendapati keadaan sistem tapisan kolam kumbahan masih tidak memenuhi standard yang sepatutnya.

Razman juga berkata, ketenteraman awam masyarakat lebih diutamakan kerajaan negeri berbanding industri.

“Kita tidak nafikan perlukan industri penternakan tetapi pematuhan mestilah diikut supaya operasinya tidak mengganggu orang awam.

“Jadi kita dah bagi tahu bahawa ketenteraman awam bagi kerajaan adalah lebih utama daripada industri. Isu kacau ganggu awam lebih besar daripada ekonomi itu yang perlu diambil perhatian serius,” tegas Razman.

Sementara itu Pengarah Jabatan Veterinar Perak Dr. Ahmad Shafri Hassan berkata, ladang tersebut akan dikeluarkan notis gantung sementara operasi bagi menyelesaikan beberapa isu terutamanya yang kritikal.

“Jadi kalau kita tengok pun ladang itik ni perlu membuat penambahbaikan. Jadi di peringkat kita sekarang kita sudah kenal pasti beberapa isu berbangkit. Kita akan teliti isu itu.

“Dan ladang ini pun akan kita keluarkan notis untuk gantung sementara beroperasi. Kita akan bagi tempoh mungkin seminggu atau dua minggu untuk selesai masalah yang kritikal dahulu,” katanya selesai melakukan tinjauan di ladang ternakan itik di Sungai Hantu.

Manakala Adun Trong Jamilah Zakaria berharap kerajaan dapat mengambil perhatian terhadap aduan penduduk kerana ia turut melibatkan periuk nasi mereka yang rata-rata mencari pendapatan dengan menangkap ikan, ketam dan lokan di sekitar kawasan paya bakau yang terlibat.

Turut hadir pada tinjauan itu Senator Idris Ahmad, Ketua Penolong Pegawai Daerah LMS Zairul Akmal Kasim, Setiausaha Majlis Perbandaran Taiping Kamaruzzaman Kumari, pegawai perancang Majlis Perbandaran Taiping Shahrul Nizam Baharom dan pegawai Veterinar Daerah Dr Mohd Faiz Mohd Khaif. – HARAKAHDAILY 10/7/2021

- Advertisement -