‘Kadir Jasin tak kenal pun PAS’ – Ahmad Tarmizi

Kritikannya kepada Presiden PAS dijawab

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kritikan bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Dato’ A Kadir Jasin terhadap Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menunjukkan dangkalnya pengetahuan beliau mengenai parti ini.

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, Kadir hanya menyerlahkan cemburu beliau kepada PAS dan sibuk yang berlebih-lebihan tetapi menyerlahkan hakikat betapa tidak mengenali PAS dengan sebenarnya.

- Advertisement -

“Dia tidak tahukah, Tuan Guru Abdul Hadi adalah pemimpin bukan Arab yang bertindak meredakan banyak konflik di negara Timur Tengah sejak sekian lama termasuk di Palestin yang dipertikaikan Kadir.

“Kadir tidak nampak bahawa pemimpin dikritiknya itulah yang menyatukan kumpulan-kumpulan Islam di Palestin hingga kesatuan dilihat baru-baru ini menjadi kekuatan mereka menghadapi serangan Israel,” ujarnya menjawab antara kritikan Kadir.

Menurutnya lagi, usaha dijayakan Tuan Guru Abdul Hadi hinggakan beliau mendapat sanjungan daripada para ulamak sedunia hingga pernah diangkat sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia dari kalangan ulamak bukan Arab.

Menurut Tarmizi, pemimpin nombor satu PAS itu juga banyak memberi pandangan di seminar atau perhimpunan dunia berkaitan Timur Tengah, selain menulis banyak rencana serta menghasilkan buku berkaitan.

“Dato’ Kadir pernah tahu atau pernah baca?” soal beliau yang juga aktivis kemanusiaan antarabangsa dan terlibat juga dalam Sekretariat #Aid4Palestine yang ditubuhkan awal Syawal lalu.

Jelasnya, #Aid4Palestine adalah inisiatif Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu di mana berjaya menghimpunkan lebih 200 badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh PAS Cawangan, Kawasan dan Negeri kepada kempen itu.

Kata Tarmizi, Kadir sepatutnya melihat bagaimana bersemaraknya kempen sokongan ke atas Palestin itu bukan sahaja kibaran bendera dan jutaan ringgit telah dikumpulkan, tetapi peranan hubungan dengan pihak di sana.

“Dia tak baca tengokkah laporan Ahli-ahli Parlimen PAS, ADUN-ADUN PAS, pimpinan PAS, ahli-ahli PAS hingga di Cawangan yang bergerak siang malam bantu rakyat yang terkesan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini? 

“Kempen vaksin, turun kampung dan sebagainya. Dia sendiri apa dia buat untuk bantu rakyat. Parti dia, pertubuhan dia, ada mana sekarang?” bidas Tarmizi. – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -