
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Ucapan tahniah itu juga ditujukan kepada Dato’ Seri Hishammuddin Hussein atas pelantikan sebagai Menteri Kanan Luar Negeri yang akan mengetuai Kluster Keselamatan.
“Bagi pihak kerajaan negeri, pelantikan dua pemimpin ini dilihat menepati kewibawaan serta ketokohan mereka yang sudah terbukti, khususnya bagi membantu negara menangani pelbagai isu berkaitan pandemik Covid-19.
“Selain pelantikan Dato’ Seri Hishammuddin secara khususnya dapat membantu Perdana Menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” kata Sanusi dalam satu kenyataan hari ini.
Pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin diumumkan menerusi kenyataan Jabatan Perdana Menteri, petang tadi.
Berikutan itu beliau yakin langkah berkenaan akan membawa impak yang lebih baik dalam meningkatkan prestasi dan keupayaan kerajaan secara keseluruhan. – HARAKAHDAILY 7/7/2021











