PASRelief sumbangkan RM16.3 juta untuk #Aid4Palestine

KUALA LUMPUR: Majlis Penyerahan Sumbangan #Aid4Palestine Fasa Kedua daripada PAS Negeri-negeri dan Dewan-dewan telah berlangsung secara atas talian, malam tadi.

Advertisement

Sejumlah RM4.1 juta telah terkumpul menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan daripada Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) untuk #Aid4Palestine adalah sebanyak RM16.3 juta.

Terdahulu, pada 22 Mei yang lalu, PASRelief telah mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan #Aid4Palestine daripada PAS Negeri-negeri dan Dewan-dewan juga secara atas talian.

Sebanyak RM12.2 juta telah berjaya dikumpulkan dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pendukung PAS khususnya bagi fasa pertama yang dilancarkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 12 Mei.

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM6 juta telah diperuntukkan dan sedang disalurkan ke Palestin untuk bantuan awal dan kecemasan rakyat Palestin yang terjejas akibat keganasan zionis Israel.

Manakala baki sumbangan akan diperuntukkan untuk projek jangka masa sederhana dan panjang apabila proses perbincangan dan perancangn antara Duta Muhibbah dan Kerajaan Palestin masih berjalan untuk memuktamadkan fokus keutamaan bantuan di Palestin.

“Mewakili PASRelief, saya dan barisan kepimpinan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus secara langsung mahupun tidak langsung menjayakan kempen #Aid4Palestine ini.

“Semoga Allah S.W.T memberikan rahmah dan barakahnya kepada kita jua.

“Walaupun secara rasminya kempen #Aid4Palestine sudah tamat, namun, Palestin adalah sebuah perjuangan yang tidak bernoktah dan sokongan yang tidak bermusim,” ujar Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah. – HARAKAHDAILY 15/6/2021