
PADA hari Isnin 5 Julai 2021 yang lalu telah viral video pertelingkahan antara YB Ronnie Liu, ADUN DAP kawasan Sg Pelek, Selangor dengan seorang pegawai Polis di perkarangan Bangunan Mahkamah Majistret Raub, Pahang. Ronnie difahamkan berada di situ untuk memberikan sokongannya terhadap 18 orang penceroboh hutan simpan di daerah berkenaan yang telah ditahan polis dan dibawa ke mahkamah untuk memperolehi perintah reman terhadap mereka.
Menerusi video berkenaan Ronnie dapat dilihat jelas mencabar dan mengganggu tugas anggota polis dan kebiadabannya terhadap kakitangan awam yang menjalankan tugas sangat dikesali. PAS Selangor mempertikaikan bagaimana Ronnie seorang ADUN Negeri Selangor boleh berada di Raub, Pahang pada hari berkenaan sedangkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD dikuatkuasakan di sebahagian besar Negeri Selangor.
Apabila diminta menunjukkan surat kebenaran rentas daerah, Ronnie langsung tidak mengendahkan permintaan pegawai Polis berkenaan malah tidak turun dari kenderaannya menunjukkan kesombongannya sebagai seorang penggubal undang-undang.
PAS Selangor mendesak pihak bertanggungjawab khasnya pihak polis agar mengambil tindakan paling keras terhadap Ronnie yang bukan sahaja telah melanggar SOP tetapi turut terlibat dalam menghalang pihak berkuasa dalam menjalankan tugas mereka.
Dalam kesungguhan rakyat mematuhi SOP demi memulihkan negara dari pandemik COVID-19 ini, tindakan Ronnie itu sangat dikesali dan memalukan rakyat Malaysia khasnya rakyat Negeri Selangor. ADUN Negeri Selangor yang biadab dan melanggar peraturan demi kepentingan politik sebegini harus ditolak oleh rakyat Selangor dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang. Kenyataan ini dikeluarkan pada hari ini Selasa 6 Julai 2021.
DATO DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 6/7/2021




















