
KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar membenarkan lagi apa yang telah PAS Pulau Pinang bersuara berkenaan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).
Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, kini terbukti kerajaan negeri telah gagal meyakinkan ahli parlimen itu yang sama-sama berada dalam Pakatan Harapan (PH).
“Ini membuktikan Kerajaan PH gagal,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan Selasa lalu menggesa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri supaya membatalkan projek PSR itu serta-merta.
Beliau menyifatkan projek tersebut telah tersasar daripada tujuan asalnya, sebaliknya lebih banyak menumpukan kepada kepentingan sesetengah pihak serta mengabaikan kelestarian alam sekitar dan menjejaskan punca rezeki golongan nelayan.
Menurutnya, PSR yang diumumkan pada tahun 2015 asalnya bertujuan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
“Walaupun saya bersama rakan-rakan parti pada awalnya menyokong pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih baik, keraguan mula timbul apabila PTMP diubah untuk merangkumi lebuhraya mega merentasi bukit dan sungai, transit aliran ringan (LRT), monorel, skycab dan pelan tambakan laut,” katanya.

Justeru, Fauzi mempersoalkan adakah kegusaran dan desakan Nurul Izzah itu mewakili PKR negeri atau hanya seorang diri sahaja.
“Apakah Exco Kerajaan negeri daripada PKR iaitu Timbalan Ketua Menteri, Dato’ Ir. Zakiyuddin dan Dr Norlela senada dengan beliau (Nurul Izzah)?” soal beliau.
Menurutnya, kedua-dua Exco Kerajaan Negeri daripada PKR itu mempunyai kaitan dengan projek berkenaan.
Justeru, ujarnya eloklah Nurul Izzah berjumpa mereka berdua dan menjelaskan apa keperluan membatalkan PSR yang berisiko itu agar sama-sama sekata.
“Biar tinggal DAP dan tali barut menggelupur,” katanya.
Tambahnya, walaupun agak terlewat Nurul Izzah bersuara, namun ia dapat bersama-sama bersolidariti dengan pihak nelayan dan rakyat Pulau Pinang yang majoritinya menolak PSR itu. – HARAKAHDAILY 2/6/2021




















