Jawatankuasa khas bantu NGO salur bantuan ke Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kabinet menubuh Jawatankuasa Khas bagi memudahkan NGO di negara ini melaksanakan misi bantuan kemanusiaan membantu rakyat Palestin terutamanya di Gaza susulan gencatan senjata 21 Mei lepas.

Jawatankuasa khas itu dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Menteri Dalam Negeri (KDN) Dato’ Seri Hamzah Zainuddin.

Jawatankuasa Khas ini dikehendaki melaksanakan beberapa tanggungjawab iaitu membuat semakan latar belakang NGO-NGO yang ingin melaksanakan misi bantuan kemanusiaan untuk Palestin sebelum mereka dibenarkan membuat permohonan.

- Advertisement -

Selain itu mengkoordinasikan semua NGO di bawah satu Prosedur Operasi Standard (SOP) permohonan yang sama dan mempermudahkan permohonan sekiranya memenuhi SOP yang ditetapkan.

“Jawatankuasa khas itu bertindak sebagai penyelarasan Misi Kemanusiaan oleh Badan-Badan Bukan Kerajaan untuk Palestin,” kata Takiyuddin dan Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan bersama, hari ini.

Menurut kenyataan itu misi bantuan kemanusiaan sememangnya usaha yang amat murni serta sangat diperlukan rakyat Palestin ketika ini.

Katanya perkara itu dibincang secara teliti pada mesyuarat kabinet secara maya yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi.

Dengan ketetapan itu bermakna setiap NGO yang mahu melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Palestin hendaklah membuat permohonan hanya melalui dua kementerian yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas terbabit.

“Hanya apabila permohonan mereka diluluskan, kabinet bersetuju agar Kementerian Luar Negeri membantu dalam memudahkan perjalanan NGO-NGO tersebut ke Palestin.

“Kementerian Luar Negeri akan menumpu terhadap koordinasi dengan semua negara terlibat supaya NGO yang melaksanakan misi bantuan kemanusiaan mematuhi setiap SOP serta peraturan yang ditetapkan negara-negara tuan rumah.

“Buat masa ini, Kementerian Luar Negeri menasihatkan NGO-NGO agar melakukan perjalanan ke Palestin hanya melalui Mesir dan Jordan,” kata kenyataan terbabit.

Pada 21 Mei lepas zionis Israel mengumumkan gencatan senjata selepas menceroboh penempatan penduduk Islam di Gaza selama 11 hari, sehingga menyebabkan berlaku banyak kemusnahan harta benda dan nyawa.

Tindakan pejuang Hamas dan briged jihad melancarkan serangan balas dengan roket ke atas Tel Aviv menyebabkan berlaku kerosakan yang dianggarkan kerajaan zionis kira-kira RM8 bilion. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -