JAKIM ajak baca Yaasin, tonton Forum Perdana esok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengajak seluruh umat Islam untuk bersama-sama membaca Yaasin dan doa demi kesejahteraan negara menerusi rancangan terbitan JAKIM di saluran TV1 RTM iaitu Salam Pagi dan Forum Perdana Ehwal Islam, esok (3 Jun).

Ketua Unit Komunikasi Korporat JAKIM, Zakaria Othman berkata, rancangan Salam Pagi akan bersiaran di TV1 pada jam 7.10 hingga 8.00 pagi.

- Advertisement -

Katanya, ia dimulakan dengan bacaan Yaasin diketuai Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Ustaz Amirahman Abas, sementara Ustaz Zul Ramli M. Razali akan bertindak sebagai ahli panel yang akan mengupas ayat-ayat dalam Surah Yaasin manakala moderator ialah Jalal Zaiki.

Menurutnya, Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk “Takut Allah atau Takut Covid-19?” pula akan bersiaran secara langsung pada jam 9.00 malam esok dimulai dengan bacaan Yaasin yang akan dipimpin oleh Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Ustaz Tirmizi Ali.

Tambahnya, Ustaz Ahmad Shukri Yusoff dan Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud akan bertindak sebagai moderator manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri selaku ahli panel.  

“Program khas ini bertujuan untuk mengajak seluruh lapisan umat Islam melazimi bacaan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim di samping doa dan munajat dalam tempoh negara berhadapan dengan saat getir musibah pada ketika ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berharap semoga usaha itu akan mendapat rahmat daripada Allah SWT serta dikurniakan kesejahteraan buat negara khususnya dalam keadaan wabak Covid-19 yang sedang melanda.

“JAKIM berbesar hati menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menonton dan menyertai kedua-dua program yang bermanfaat ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -