
KOTA BHARU: PAS menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menyiasat dakwaan percubaan rentas negeri yang membabitkan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Setiausaha Agungnya, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini parti itu tidak mempunyai maklumat lanjut.
“Kes tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa, jadi biarlah pihak polis yang membuat siasatan. Setakat ini parti belum dapat apa-apa laporan daripada pihak berkuasa,” ujarnya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu Dr Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi diperiksa ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di kawasan Rehat Rawat (R&R) Perasing, Kemaman.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu memandangkan ia masih dalam siasatan polis.
Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, secara umumnya PAS adalah parti yang akur kepada undang-undang.
“Apabila dikatakan sesiapa sahaja pemimpin atau ahli didakwa melakukan kesalahan kita serah kepada pihak berkuasa. Bagaimanapun orang yang dituduh itu mempunyai hak bela diri,” ujarnya.
“Prinsip undang-undang jelas seseorang dianggap tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Bagaimanapun Dr Khairuddin semalam menafikan dakwaan dia ditahan di SJR Perasing. Pada masa yang sama beliau akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang memfitnah termasuk mengaitkannya mempunyai hubungan dengan seorang selebriti wanita. – HARAKAHDAILY 30/5/2021




















