
ALOR SETAR: Orang ramai dinasihat tidak terpedaya atau mempercayai sebaran poster palsu berkenaan bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 oleh Kerajaan Negeri Kedah.
Adun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, mereka yang membuat atau menular poster palsu itu dianggap tidak bertanggungjawab dan menyusahkan orang lain.
“Pihak berkenaan dilihat sengaja untuk menimbulkan kemarahan rakyat kerana di poster itu ditulis rujukan bantuan terus ke nombor telefon Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, anggota Exco dan Adun-adun.
“Kita semua sedia maklum, sebagai kerajaan semua bantuan PKP atau sebagainya akan diurus oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah masing-masing,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial dan ‘group whatshaps’ poster bantuan PKP 3.0 oleh kerajaan negeri berjumlah RM20 juta untuk seluruh rakyat Kedah.
Poster itu juga menyertakan nama dan nombor telefon peribadi semua Exco dan Adun Perikatan Nasional (PN) Kedah termasuk Menteri Besar untuk dihubungi sekiranya ada pihak yang memerlukan bantuan.
Azam yang juga Ketua Penerangan PAS Kedah berkata, sebelum ini pun apa jua bantuan atau sumbangan yang disalurkan melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) akan dirujuk terus ke pejabat Adun bukannya wakil rakyat terbabit.

Oleh itu, beliau mensyorkan Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA) mengambil tindakan undang-undang memandangkan poster palsu itu menggunakan lambang urusetia berkenaan.
Hal itu katanya boleh memberi persepsi buruk kepada urusetia terbabit kerana lambang berkenaan adalah lambang rasmi media Pejabat Menteri Besar.
“Sepatutnya dalam situasi negara dan negeri dilanda wabak Covid-19 yang membimbangkan, tidak wajarlah kerja tidak bermoral tersebut berlaku.
“Semuanya tak lain hanyalah untuk memberi persepsi buruk terhadap kerajaan sekarang. Saya tidak mahu tuduh sesiapa tetapi kepada yang terlibat, saya harap berhentilah membuat kerja sia-sia ini,” tambah Azam.
Isu berkenaan turut disahkan Pejabat Menteri Besar melalui kenyataan hari ini.
“Orang ramai jangan terpedaya dengan permainan politik kotor pihak tidak bertanggungjawab yang dilihat mengambil kesempatan dalam suasana pandemik sekarang,” kata kenyataan itu.
Menurutnya juga, rakyat Kedah tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri telah menyusun langkah yang perlu bagi meringankan beban terutama penduduk yang terjejas menghadapi pelaksanaan ‘total lockdown‘ yang akan bermula 1 Jun ini.
“Bantuan berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 30/5/2021











